
KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menawarkan sebanyak 2,850 tempat kepada pelajar baharu menerusi laluan khas prasiswazah bagi sesi akademik 2025/2026, termasuk golongan B40, pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan atlet sukan.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Mansor berkata, angka itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 5,123 pelajar baharu yang ditawarkan melanjutkan pengajian di universiti berkenaan tahun ini.
“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 2,830 tawaran diberikan kepada pelajar B40 melalui ambilan UPUonline, lapan kepada pelajar OKU, dan 12 kepada atlet sukan,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan proses pendaftaran pelajar di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, pengambilan kali ini melibatkan 4,167 pelajar di Kampus Kota Kinabalu, 734 di Kampus Antarabangsa Labuan, dan 222 di Fakulti Pertanian Lestari, Kampus Sandakan.
Menurut Kasim, sebanyak 3,648 (71.21%) pelajar baharu adalah dari Sabah, diikuti 928 (18.11%) dari Semenanjung Malaysia, 453 (8.84%) dari Sarawak, 73 (1.42%) dari Wilayah Persekutuan Labuan dan 21 (0.41%) pelajar antarabangsa dari lapan negara termasuk China, Jepun, Korea, Bangladesh, Pakistan, India, Indonesia dan Timor Leste.
Tambahnya, semua pelajar baharu akan mengikuti Minggu Suai Mesra (MSM) sehingga 1 Oktober ini sebagai persiapan menyesuaikan diri dengan suasana kampus, selain universiti telah menambah baik kemudahan kolej kediaman bagi memastikan kelancaran sesi pengajian.






