PAS cuba menanam persepsi kononnya BUDI95 hanyalah ‘janji besar, hasil kecil’. Namun fakta angka membuktikan sebaliknya: penjimatan program ini jauh lebih besar daripada keseluruhan hasil tahunan negeri-negeri yang diperintah Pas.
Tuduhan berkaitan dengan BUDI95 ini dilontarkan oleh Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang disiarkan melalui lidah rasmi Pas, Harakahdaily.
Kerajaan MADANI memperkenalkan BUDI95 dengan penjimatan terkini dianggarkan RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, bergantung pada harga minyak dunia. Walaupun anggaran awal RM8 bilion disemak, angka penjimatan ini tetap amat signifikan untuk negara.
Kita bandingkan dengan hasil tahunan negeri-negeri di bawah Pas:
Kelantan: RM997 juta
Terengganu: RM1.997 bilion
Kedah: RM790 juta
Perlis: RM122 juta
Jumlah gabungan = RM3.91 bilion.
Ertinya, penjimatan BUDI95 sahaja menyamai, malah melebihi hasil tahunan 4 negeri Pas digabungkan.
Pas menuduh, tapi negeri sendiri lemah
Pas cuba memperlekeh program kerajaan pusat dengan istilah ‘hasil kecil’. Namun, fakta menunjukkan:
Terengganu – 86 peratus hasil negeri datang daripada wang ehsan Persekutuan, hanya 14 peratus hasil kutipan sendiri.
Kelantan berdekad bergantung kepada royalti luar dan dana pusat.
Perlis & Kedah – hasil tahunan tidak sampai RM1 bilion pun.
Jika negeri sendiri masih bergantung penuh kepada Putrajaya, apa kelayakan Pas untuk menghina dasar bantuan nasional?
Bercakap soal ‘hasil kecil’, tetapi hakikatnya hasil negeri mereka jauh lebih kecil daripada satu program nasional.
Ketua Pemuda Pas juga menuduh syarat BUDI95 rumit, tetapi skim bantuan Pas di negeri pentadbiran mereka lebih sempit dan banyak berlaku keciciran sebelum ini.
Pas dengan angkuh menghina Kerajaan Persekutuan sedangkan rakyat negeri mereka sendiri terpaksa menanggung pelbagai kelemahan pentadbiran seperti isu air, peluang peluang perkerjaan yang terbatas dan pertumbuhan ekonomi negeri yang statik di negeri-negeri di bawah pentadbiran Pas.
BUDI95 bukan janji kosong, ia sudah dibuktikan dengan BUDI MADANI diesel sebelum ini yang telah menjimatkan sekitar 8 bilion daripada hasil negara sebelum ini.
Penjimatan bilion ringgit ini membantu rakyat seluruh negara, bukan hanya satu negeri.
Pas gagal urus negeri kalau hasil negeri sendiri pun lebih kecil daripada penjimatan satu dasar pusat, siapa sebenarnya yang ‘sembang kari’?
Rakyat lebih cerdik mereka nampak Pas hanya pandai beretorik, tapi bila diberi amanah mentadbir, negeri terus bergantung penuh kepada dana pusat.
Fakta angka sudah jelas, anggaran penjimatan daripada BUDI95 adalah sekitar RM4 bilion manakala 4 negeri Pas (Kelantan + Terengganu + Kedah + Perlis) = RM3.91 bilion kutipan hasil.
Siapa yang sebenarnya gagal dan siapa yang benar-benar membantu rakyat?
Pas boleh terus bercakap besar di pentas, tapi rakyat kini tahu Kerajaan MADANI bekerja dengan angka, Pas hanya berpolitik dengan sembang.






