
SARATOK – Seramai 20 peserta berjaya menamatkan Program Literacy Education for Adults Skills (LEADS) anjuran KEMAS Daerah Saratok yang diraikan dalam Majlis Graduasi Kelas LEADS 2025, diadakan di Rumah Dulah, Nanga Luak, Awik, Saratok pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, kejayaan tersebut bukan sahaja menjadi simbolik kepada penamat sesi pembelajaran, tetapi juga menandakan permulaan baharu dalam kehidupan graduan.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih para peserta yang mengikuti kelas sejak April lalu, selain dedikasi tenaga pengajar yang sentiasa membimbing dengan penuh kesungguhan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Friday turut mengingatkan para graduan kejayaan yang dicapai hari ini bukanlah titik akhir, sebaliknya titik permulaan untuk mengaplikasikan segala ilmu yang diperoleh dalam kehidupan seharian.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan RM300,000 bagi pembinaan jambatan yang menghubungkan kebun dengan rumah panjang.
Selain itu, sumbangan sebanyak RM10,000 disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Dulah bagi tujuan pembelian lampu solar, manakala RM5,000 diberikan kepada biro-biro JKKK Rumah Dulah.

