ROME – Itali menghantar sebuah frigat tentera laut untuk membantu kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang diserang dron pada waktu malam di perairan antarabangsa berhampiran Greece, kata Menteri Pertahanan, Guido Crosetto.
Menurut agensi berita Itali, ANSA, Crosetto berkata, beliau sudah memberi kebenaran bagi tindakan segera dengan mengarahkan frigat pelbagai guna – Fasan, yang sedang belayar di utara Crete dalam operasi Mare Sicuro, untuk memberikan bantuan kepada rakyat Itali yang berada dalam flotila itu.
“Frigat itu kini sedang menuju ke kawasan berkenaan bagi melaksanakan kemungkinan operasi menyelamat,” katanya.
Crosetto turut menyuarakan ‘kecaman paling keras’ terhadap serangan itu selepas kapal GSF yang membawa aktivis, termasuk rakyat Itali, diserang dron oleh pihak tidak dikenali.
“Dalam sebuah negara demokrasi, demonstrasi dan bentuk protes mesti dilindungi selagi ia berlangsung mengikut norma undang-undang antarabangsa dan tanpa menggunakan keganasan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap misi Itali, Maria Elena Delia berkata, kapal dari Itali, England dan Poland turut menjadi sasaran, menyifatkannya sebagai ‘serangan terhadap tiga negara’ dan ‘episod yang sangat serius yang mencetuskan satu duluan’.
“Kami berharap dunia politik akan campur tangan. Kami diserang sekurang-kurangnya 15 dron,” katanya.
GSF yang sedang belayar merentasi Laut Mediterranean membawa makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan dijadual tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.







