BANGKOK – Kejadian tanah mendap besar di Jalan Samsen, pagi tadi, mencetuskan panik apabila lubang sedalam kira-kira 50 meter ‘terbentuk’ di hadapan Hospital Vajira.
Insiden sekitar jam 7.13 pagi waktu tempatan itu menyaksikan kawasan dianggarkan berukuran 30 meter lebar dan 30 meter panjang mendap.
Walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, kesannya amat besar sehingga perkhidmatan pesakit luar hospital terpaksa digantung.
Seramai lebih 3,500 pesakit turut dipindahkan dari bangunan berhampiran sebagai langkah berjaga-jaga.
Laporan awal bagaimanapun mengesahkan struktur utama hospital tidak mengalami kerosakan.
Dua tiang elektrik serta sebuah kenderaan polis dilaporkan terperangkap di dalam lubang tersebut.
Pihak Metropolitan Electricity Authority segera dikerahkan ke lokasi untuk mengawal situasi.
Selain pesakit, penduduk di beberapa pangsapuri berhampiran turut diarahkan keluar demi keselamatan.
Laluan trafik antara simpang Vajira dan Sanghi ditutup sepenuhnya.
Menurut laporan Bangkok Post, kawasan itu sebelum ini ditutup kerana kerja pembinaan MRT Laluan Ungu (sambungan Tao Poon–Rat Burana).
Namun, pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar kejadian.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt bersama pasukan penyelamat turun padang bagi menilai kerosakan dan langkah pemulihan segera.





