
TUARAN – Surau Abu Hassan Ar-Raudhah di Kampung Lok Batik Hujung bakal menjadi mercu tanda baharu komuniti Islam di Sabah dengan reka bentuk unik berasaskan warisan Bugis.
Pengerusi Jawatankuasa Sambutan perasmian Surau, Dr Abdullah Bade berkata, kompleks surau ini dibangunkan di atas tanah wakaf seluas satu ekar milik Jamal Hasan yang merangkumi bangunan utama surau, dewan serbaguna, ‘homestay’ dan deretan kedai.
“Projek ini mula dirancang sejak Julai 2023 sebelum memulakan kerja pembinaan pada 22 Mac 2024.
“Dengan keluasan 3,000 meter persegi, surau ini mampu menampung sehingga 850 jemaah pada satu-satu masa,” katanya kepada media selepas perasmian Surau Abu Hassan Ar-Raudhah di Kampung Lok Batik Hujung, pada Ahad.

Katanya lagi, lebih menarik ia menampilkan tujuh kubah berbentuk Songkok Recca.
Songkok Recca merupakan songkok tradisi komuniti Bugis. Namun begitu, hanya empat kubah siap pada fasa pertama manakala baki tiga kubah akan dilengkapkan dalam fasa kedua.
Dalam pada itu, pembinaan kompleks ini dibiayai sepenuhnya hasil sumbangan orang ramai dari seluruh Sabah dengan kos keseluruhan mencecah RM1.4 juta termasuk RM950,000 bagi bangunan surau sahaja.
“Bagi menyiapkan sepenuhnya kompleks ini pihak pengurusan masih memerlukan dana tambahan sebanyak RM450,000,” jelasnya.
Tambah Abdullah, Surau Abu Hassan Ar-Raudhah bukan sahaja bakal menjadi pusat ibadah.
“Ia juga simbol perpaduan, kesatuan hati dan kebersamaan masyarakat di daerah ini.
“Saya menyeru seluruh rakyat Sabah, termasuk dari seluruh Malaysia untuk menyumbang bagi pembinaan surau ini. Semoga menjadi amal soleh yang berkekalan,” ujarnya.




