Lebih 55 tan tepung tanpa label bernilai RM1.4 juta dirampas PGA

PADANG BESAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya merampas lebih 55 tan tepung disyaki tidak mematuhi syarat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.4 juta dalam satu operasi di Kilometer 24, Chuping di sini semalam.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, rampasan itu dilakukan sepasukan anggota Kompeni C, Batalion 1 PGA Ulu Kinta, Perak menerusi Op Taring Wawasan Kedah/Perlis selepas menahan dua lori treler kontena jenis Dongfeng yang dipandu dua lelaki tempatan berusia 45 tahun.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 1,042 guni putih jumbo serta beg kertas berwarna coklat dan biru yang berisi tepung dengan anggaran berat keseluruhan 55,750 kilogram.

“Kesemua bungkusan itu disyaki melanggar Akta Makanan 1983 kerana tidak mempunyai kenyataan ‘bukan untuk jualan’ selain pelabelan tidak lengkap tanpa alamat pengimport.

“Dua suspek bersama rampasan telah diserahkan kepada pihak Kemneterian Kesihatan Malaysia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Padang Besar untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati barangan tersebut dibeli di Padang Besar sebelum cuba dibawa ke Alor Setar, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur untuk tujuan pasaran.

Shahrum menjelaskan, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Makanan 1983 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau menegaskan, kejayaan rampasan itu sekali lagi membuktikan komitmen PGA dalam mengekang sebarang bentuk penyeludupan khususnya di kawasan sempadan utara negara.

“Briged Utara PGA sentiasa konsisten mempertingkatkan operasi bagi memastikan undang-undang dapat dikuatkuasakan dengan berkesan. Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan melanggar peraturan.

“Dalam masa sama, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan,” katanya.

Tindakan membawa masuk tepung tanpa label jelas melanggar undang-undang dan boleh mengundang risiko kepada pengguna memandangkan status keselamatan makanan berkenaan diragui.

Related Posts

Tony Pua diminta mohon maaf, DAP digesa ambil tindakan disiplin

PARIT YAANI – Exco Pemuda AMANAH, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda menyifatkan kenyataan bekas pemimpin DAP, Tony Pua berhubung institusi Raja-Raja Melayu sebagai tindakan tidak wajar dan biadab. Menurut beliau, kenyataan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
KPM sasar 800 bilik darjah ‘AI Powered Classroom’ menjelang 2027

PAYA RUMPUT – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan sebanyak 800 bilik darjah di seluruh negara akan ditransformasikan kepada ‘AI Powered Classroom’ menjelang akhir tahun 2027 sebagai usaha memperkukuh agenda transformasi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kerajaan gesa Zionis bebaskan 25 rakyat Malaysia sertai GSF 2.0

Kerajaan gesa Zionis bebaskan 25 rakyat Malaysia sertai GSF 2.0

Kerajaan terus bantu PKS depani tekanan ekonomi global – PM

Kerajaan terus bantu PKS depani tekanan ekonomi global – PM

Tony Pua diminta mohon maaf, DAP digesa ambil tindakan disiplin

Tony Pua diminta mohon maaf, DAP digesa ambil tindakan disiplin

KPM sasar 800 bilik darjah ‘AI Powered Classroom’ menjelang 2027

KPM sasar 800 bilik darjah ‘AI Powered Classroom’ menjelang 2027

Sekolah Tinggi Segamat raih pengiktirafan seabad, lambang kecemerlangan pendidikan

Sekolah Tinggi Segamat raih pengiktirafan seabad, lambang kecemerlangan pendidikan

YDP MPK akui kelemahan diri, mohon maaf isu tular program rakyat

YDP MPK akui kelemahan diri, mohon maaf isu tular program rakyat