
PUTRAJAYA – Universiti Utara Malaysia (UUM) menafikan dakwaan kehadiran pelajar antarabangsa di universiti awam (UA) akan ‘merampas’ tempat anak tempatan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
UUM menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya komited memperjuangkan pendidikan pengurusan anak bangsa dan mahu membetulkan persepsi tidak tepat mengenai sistem pendidikan tinggi negara.
“Kehadiran pelajar antarabangsa di universiti awam bukan untuk ‘merampas’ tempat anak tempatan,
“Sebaliknya menyumbang kepada yuran pengajian, meningkatkan kedudukan universiti pada peringkat global dan memperkayakan pengalaman pembelajaran mahasiswa,” katanya, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, UUM turut menegaskan , dakwaan graduan tempatan gagal menempatkan diri dalam pasaran kerja adalah tidak benar.
Katanya, kenyataan itu dilihat boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap usaha sedang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama universiti awam.
“Kadar kebolehpasaran graduan UUM bagi 2024 ialah 96.6 peratus, membuktikan majoriti graduan berjaya mendapat pekerjaan, melanjutkan pengajian atau menceburi bidang keusahawanan.
“Setakat ini, UUM ada 28,163 pelajar termasuk 510 pelajar antarabangsa peringkat sarjana muda dan 1,938 pascasiswazah iaitu hanya 8.7 peratus daripada jumlah keseluruhan jauh lebih rendah berbanding dakwaan 21 peratus,” katanya.
Terdahulu, pihak pembangkang mendakwa KPT gagal mendahulukan kepentingan anak tempatan dalam kemasukan ke lima universiti penyelidikan (RU) negara.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Azlinda Azman dalam laporan media sebelum ini, menegaskan pihaknya tidak pernah menganak tirikan pelajar tempatan, sebaliknya mereka sentiasa diberi keutamaan melanjutkan pelajaran ke universiti.
Katanya, bagi program prasiswazah, jumlah kemasukan pelajar antarabangsa adalah terhad dengan keutamaan diberi kepada pelajar tempatan.







