
PUTRAJAYA – Polis Kuala Lumpur sudah melengkapkan siasatan insiden kekecohan dan kejadian baling objek yang mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman semasa operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, 11 September lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kertas siasatan akan dihantar semula kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) petang ini selepas ia dikembalikan kepada polis, pada Rabu.
“Polis KL juga mencadangkan pertuduhan bagi semua individu yang ditahan berhubung kes terbabit. Kertas siasatan itu dikembalikan semula dengan beberapa arahan lanjut dan akan dirujuk kembali kepada TPR jam 3.30 petang ini
“Kita akan cadangkan pertuduhan bagi semua individu yang ditahan. Secara keseluruhan, lapan individu ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat reman,” katanya menerusi kenyataan, pada Jumaat.
Sementara itu, Mohamed Usuf berkata, seramai 67 individu diambil keterangan bagi membantu siasatan kes itu setakat
“Ini membabitkan 52 saksi polis, termasuk Ketua Polis Daerah Dang Wangi, empat pengadu, tiga pegawai mahkamah, dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dua pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Selain itu, seorang peguam, wakil penduduk, pengarah syarikat serta wanita yang juga penjaga kepada salah seorang yang ditangkap,” katanya.
Terdahulu, media pada 13 September lalu melaporkan tujuh suspek ditahan selepas disyaki mencetuskan provokasi serta mencederakan pegawai kanan polis dalam insiden di Kampung Sungai Baru, di sini, dipercayai ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan seorang daripada mereka juga ketua pertubuhan itu.
Siasatan yang dijalankan membabitkan kes menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan mencederakan Sulizmie Affendy dengan ada antara mereka yang ditahan turut didapati mempunyai rekod kesalahan seperti terlibat dalam rusuhan.
Dua hari kemudian, Ketua PAS Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad turut ditahan polis berkaitan isu sama untuk siasatan mengikut Seksyen 186, Seksyen 353 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Seksyen 186 merujuk kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 353 berkaitan penggunaan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam, manakala Seksyen 324 pula membabitkan kesalahan menyebabkan cedera menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru pada 11 September lalu susulan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah di kawasan berkenaan dengan diketuai oleh bailif mahkamah bersama beberapa agensi berkaitan.
Proses pengambilan tanah bagi pembangunan semula kawasan itu bermula sejak 2016 yang membabitkan keseluruhan 67 unit rumah teres serta 14 blok pangsapuri.







