JODOH itu bukan hanya merujuk kepada hal kahwin cerai semata-mata, tapi boleh dilihat dalam konteks lebih luas.
Sebagai contoh, benda berkaitan jodoh ini juga boleh dirujuk kepada kerjasama antara parti politik yang menjadi gabungan besar.
Cuma, bila bercakap bab jodoh ini, orang selalu pesan, cari yang sepadan atau sebaiknya sekufu.
Maka kita lihatlah kepada satu ‘perkahwinan’ yang berlaku sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) antara dua parti pembangkang yang ‘besar’.
Sebenarnya ada tiga parti bergabung di situ, cuma yang dua itu sajalah paling menonjol, sedangkan satu lagi parti dianggap sebagai ‘pelengkap jadual’ saja.
Gabungan ini kita kenali sebagai Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Pas, Bersatu dan Gerakan.
Pas ada banyak kerusi dimenangi berbanding rakan sekufunya itu, dan sewajarnya diberi peranan lebih baik dalam PN.
Tapi, ia tidaklah berlaku sebegitu rupa kerana Bersatu dianggap sebagai ‘abang besar’ mereka.
Manakala Gerakan pula, tidak ada banyak boleh diulas kerana parti itu ‘kalah bergaya’ di semua kerusi mereka tandingi.
Berbalik pula kepada hal Pas-Bersatu ini, sejak sebulan dua terkebelakang, masing-masing sibuk seperti mahu berebut menjadi calon Perdana Menteri (PM).
Pas ada calon mereka dan begitulah juga dengan Bersatu.
Cuma dalam hal calon Bersatu ini, kita tidak perlu pening berteka-teki kerana mereka masih menaruh harapan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perkara sama tidak berlaku dalam Pas, memandangkan mereka mendakwa dalam parti itu terdapat ‘berlori-lori’ calon layak menjadi PM.
Kenyataan tersebut keluar dari mulut Mursyidul Am mereka, Datuk Hashim Jasin ketika muktamar tahunan Pas di Kedah, hujung minggu lalu.
Dalam muktamar sama, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula tidak melepaskan peluang menyindir rakan gabungan PN.
“Duit tak dak, jentera tak dak, tapi nak jadi ketua? Semua harap pada Pas,” kata Menteri Besar Kedah itu.
Tidak siapa tahu sindiran itu ditujukan kepada parti mana, sehinggalah hari ini apabila bekas Setiausaha Sulit Muhyiddin, Marzuki Mohamad mengeluarkan kenyataan bahawa Bersatu paling banyak mengeluarkan ‘belanja’ ketika PRU15.
“Pas tidak menghadapi masalah besar dalam perbelanjaan pilihan raya apabila bertanding atas tiket PN kerana semua peralatan pilihan raya disediakan PN, ditanggung Bersatu.
“Hasilnya, Pas menang 43 kerusi Parlimen iaitu jumlah yang terbesar dalam sejarah Pas sejak 70 tahun berada di persada politik Malaysia,” katanya di Facebook.
Jadi, sekarang apa masalahnya jika Pas atau Bersatu yang paling banyak menyumbang dana ketika PRU15.
Atau ini tanda akhir bahawa hubungan antara parti gabungan dalam PN sedang menunggu masa untuk ‘direhatkan’.
Dan paling pelik, dari mana agaknya Bersatu memiliki sejumlah dana yang besar hingga mampu berbelanja untuk semua parti dalam PN semasa PRU15 itu.
Jadi, kembali pula kita kepada persoalan awal tadi, bahawa jodoh itu perlu dipilih dengan baik.
Tersilap pilih, ia bukan jadi jodoh tapi akhirnya menjadi bodoh.





