PUTRAJAYA – Pas dan Bersatu ketika ini didakwa berada di ambang perpecahan selepas mengalami krisis perebutan untuk mencalonkan jawatan Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan PKR Johor, Fakharuddin Moslim berkata, perkara terbabit jelas terbukti apabila kedua-dua parti berkenaan sedang menamakan calon masing-masing untuk jawatan tersebut,
Katanya, tindakan yang dipamerkan pembangkang, khususnya Pas sekali gus menunjukkan perbezaan pandangan berunsur negatif, dengan melontarkan kenyataan sinis terhadap rakan komponen PN.
“Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sindir Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), katanya parti tu tak ada akar umbi, modal pun tak ada. Takkan hang nak jadi ketua, perli dia.
“Kemudian datang pula, (Tan Sri ) Abdul Hadi Awang (berucap dalam muktamar Pas), siap pesan calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (jika menang pilihan raya) mesti bawah 70 tahun.
“Itu terus makan (sindiran tersebut terkena Tan Sri) Muhyiddin (Yassin)… sekarang (Muhyiddin) dah umur 78 tahun,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.
Sanusi ketika berucap dalam Muktamar Pas, pada Selasa secara bersahaja menegur parti komponen PN kerana dianggap banyak bergantung kepada jentera parti dan kewangan Pas untuk bertanding dalam pilihan raya.
Dalam ucapan penggulungannya juga sebagai Naib Presiden Pas dan juga pengarah pilihan raya, Sanusi berkata, ada parti yang mai (datang) bertanding syok saja dan dibantu oleh Pas.
Mengaitkan keadaan itu dengan sasaran memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang, Sanusi berkata, parti terbabit kemudian dilihat mahu menjadi ‘ketua’ namun gagal menyedari realiti kekurangan yang dialami oleh mereka.
“Kita menghadapi rakan-rakan (dalam PN) yang bergantung kepada peralatan yang kita bayar. Di sini (Kedah), saya fikir di tempat lain sama juga.
“Satu cawangan kita minta RM120,000 untuk satu UPU (unit peti undi). Sebelum ni semua peralatan itu kita bayar, depa mai bertanding syok aja. Habis tu nak jadi ketua? Duit tak dak, jentera tak dak, (harap) kita (Pas) semua,” kata Sanusi.

Mengulas lanjut, Fakharuddin secara sinis memerli Muhyiddin yang sebelum ini membuat kenyataan berkenaan kerjasama politik antara parti pembangkang adalah longgar dalam menghadapi PRU nanti.
Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Tenggara mendakwa, Muhyiddin sanggup berbuat apa sahaja dalam usaha untuk melawan kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sampai Hindraf dan Ramasamy pun dia sanggup peluk. Bak kata budak Gen Z, Ramasamy pun Ramasamy lah, janji lawan Anwar.
“Itulah wajah sebenar PN, retak menanti belah. Hidup Melayu cuma jadi modal manis mulut, sedap telinga penyokong dengar. Hakikatnya mereka tengah gaduh sakan, semata-mata nak rebut jawatan PM,” katanya.







