DOHA – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendesak hukuman tegas dikenakan terhadap Israel, sambil mengecam sekeras-kerasnya serangan udara rejim itu ke atas Doha, ibu negara Qatar, serta pembunuhan beramai-ramai berterusan di Gaza.
Perdana Menteri menegaskan perlunya langkah tegas dan muktamad diambil, dengan menyatakan kecaman semata-mata tidak akan mampu menghentikan bedilan peluru berpandu dan kenyataan demi kenyataan tidak akan membebaskan Palestin.
“Tindakan punitif yang tegas mesti dilaksanakan. Segala bentuk hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel perlu dihentikan,” katanya secara tegas ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam malam tadi.
Perdana Menteri menyifatkan pengeboman secara membuta tuli ke atas ibu negara sebuah negara berdaulat sebagai tidak berperikemanusiaan, kejam dan tidak dapat dipertahankan.
![]()
Sambil itu, beliau menegaskan ia adalah satu pencerobohan terhadap kedaulatan Qatar, pelanggaran undang-undang antarabangsa serta tindakan provokatif melampau yang mengancam keselamatan rantau ini.
Anwar berkata, tahap kebiadaban ini lebih membimbangkan kerana Qatar selama ini memainkan peranan penting sebagai perantara damai di rantau berkenaan di bawah pimpinan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani.
“Untuk menyerang Qatar adalah perbuatan mensabotaj secara terang-terangan segala usaha ke arah keamanan.
“Serangan ini mesti dianggap sebagai serangan terhadap kita semua,” katanya lagi, lapor Bernama.
![]()
Anwar menegaskan serangan dilakukan Israel adalah tindakan pencerobohan terancang yang menunjukkan tiada negara dikecualikan dalam usaha rejim Zionis mencapai agenda mereka.
Tuntut flotila diberi laluan selamat
Beliau turut menzahirkan rasa kesal terhadap penderitaan berterusan di Gaza, dengan keluarga yang musnah, hospital dibedil dan kanak-kanak tertimbus di bawah serpihan bangunan.
“Di Tebing Barat, dasar penjajahan dan perampasan tanah diteruskan tanpa henti. Kebiadaban ini turut merebak dengan serangan dan pengeboman di Lubnan, Syria, Yemen dan Iraq, malah turut menyasarkan Iran.
“Corak tindakan melampaui undang-undang ini jelas menunjukkan penghinaan terhadap asas ketamadunan dan peraturan antarabangsa,” katanya.
Anwar berkata, Israel secara terbuka mengisytiharkan Palestin tidak akan pernah diiktiraf sebagai sebuah negara, tindakan yang disifatkan sebagai pengisytiharan dasar aparteid kekal dan penolakan terhadap semua resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin.
![]()
Dalam ucapannya itu, Anwar menekankan bahawa negara yang mempunyai ‘hubungan istimewa’ dengan Amerika Syarikat turut memikul tanggungjawab besar dalam menangani krisis ini.
“Ketika Amerika mahu berdialog dengan Iran, Israel membalasnya dengan bom. Ketika Washington menggalakkan usaha perantaraan dengan Hamas, Israel menyerang di Doha,” katanya.
Perdana Menteri turut menarik perhatian terhadap sebuah flotila yang kini sedang belayar menuju Gaza membawa bantuan kemanusiaan.
“Ini adalah misi kemanusiaan dan kita mesti melakukan segala usaha bagi memastikan ia sampai ke Gaza.
“Membiarkannya dihalang dengan kekerasan adalah satu pengkhianatan terhadap amanah hati nurani kita… untuk mempertahan yang lemah, melindungi yang tertindas dan memberi makan kepada yang kelaparan,” katanya.
Anwar menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa itu atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, susulan perkembangan terkini membabitkan serangan Israel ke atas negara berkenaan.






