
GEORGE TOWN – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil akan menyumbangkan bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 kepada penduduk di kawasan Parlimennya.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini, beliau belum sempat menebus bantuan itu untuk disumbangkan semula kepada penduduk.
“Saya belum tebus lagi, tak sempat.
“Insya-Allah… saya akan sedekahkan dan kemungkinan besar (penduduk) di kawasan Parlimen saya,” katanya, lapor Sinar Harian.
Terdahulu, Fahmi menyampaikan Tabung Kasih@HAWANA Santuni Pengamal Media Pulau Pinang di Ayer Itam dekat sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau menyerahkan sumbangan kepada wartawan Kwong Wah Yit Poh, Choo Kar Chun, 44, yang sedang berdepan masalah pendengaran.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mencadangkan wakil rakyat serta orang ramai yang berkemampuan untuk memanjangkan bantuan SARA RM100 kepada golongan memerlukan.
Nurul Izzah bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Ahli Parlimen Gombak sudah melaksanakan inisiatif berkenaan pada Ahad lalu.
Untuk rekod, SARA RM100 adalah bantuan tunai sekali bayar yang diagihkan kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas tanpa perlu membuat permohonan dan boleh digunakan di lebih 7,000 premis perniagaan berdaftar seluruh negara sehingga 31 Disember ini.


