
SEMPORNA – Jenazah anggota Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Prebet Muhammad Irfan Haiqal Abdullah yang ditemukan meninggal dunia ketika bertugas dalam Operasi Pasir di Pulau Mataking selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Toh Puan Rahmah, Kampung Kuala Pari Tengah, Ipoh.
Urusan pengebumian dilaksanakan dengan istiadat ketenteraan oleh 5 RAMD kira-kira pukul 12 tengah malam pada Ahad.
Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) dalam satu kenyataan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta menzahirkan komitmen untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang lagi anggota, Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar, yang masih hilang.

“Operasi pada hari kedua pada Ahad meliputi kawasan seluas 108 batu nautika persegi yang dibahagikan kepada 15 sektor, dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Polis Marin (PPM) serta ATB 2 sendiri.
“Walaupun berdepan keadaan laut berombak setinggi 0.5 hingga 1.0 meter serta angin timur tenggara berkelajuan 10 hingga 20 kilometer sejam, operasi diteruskan siang dan malam,” kata kenyataan itu, pada Ahad.
Antara aset yang digunakan termasuk kapal KD SRI JOHOR, bot pemintas selain pesawat EC725 dan CN235 MSA yang melakukan tinjauan udara.








