kemalangan maut Terengganu
KUALA TERENGGANU – Rancangan sebuah keluarga menikmati cuti sekolah di Terengganu tergendala apabila seorang ahli keluarga itu maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Ikan dekat sini, tengah malam tadi.
Mangsa, Rohani Hashim, 62, dari Bandar Putra Bertam, Pulau Pinang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kenderaan jenis Perodua Aruz dinaikinya bertembung dengan sebuah Naza Citra sekitar jam 12.22 tengah malam.
Pemandu kenderaan, Ain Syafawati Abdullah, 39, serta dua lagi penumpang iaitu Abdullah Hashim, 70, dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, Putri Nur Dini Syamimi Mohamad Nor Rafiqh, cedera dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dekat Kuala Terengganu.
Seorang lagi penumpang, Putra Haikal Zafran, 10, terselamat tanpa sebarang kecederaan dalam kemalangan itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Naza Citra dipandu seorang wanita berusia 29 tahun dari Jerteh dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Aruz berkenaan.
“Perlanggaran itu menyebabkan Naza Citra berpusing lalu dirempuh sebuah Proton Saga dipandu lelaki berusia 37 tahun bersama isteri dan tiga anaknya dari arah Kemaman.
“Proton Saga yang datang dari arah belakang cuba mengelak namun bergesel pada bahagian sisi Naza Citra,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Azli berkata, mangsa bersama dua anak difahamkan dalam perjalanan ke Terengganu untuk bercuti sebelum terlibat dalam nahas itu.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut manakala pemandu Perodua Aruz bersama dua penumpang dan pemandu Naza Citra yang cedera juga dirawat di hospital sama.
“Pemandu Proton Saga bersama isteri dan tiga anak mereka tidak mengalami kecederaan dalam nahas tersebut,” tambah beliau.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



