
LAHAD DATU – PKR menolak khabar angin bahawa parti itu akan meletakkan calon bukan daripada kalangan ahli parti bagi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Spekulasi kerusi berkenaan antaranya di DUN Sindumin, Gum-Gum dan Tanjong Kapor.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, khabar angin berkenaan belum pernah didengari selain menegaskan sebarang kenyataan rasmi akan diumum PKR sendiri.
“Saya tidak boleh memberi malum balas kerana inilah kali pertama saya mendengar ‘cakap-cakap’ (khabar angin) sedemikian.
“Yang terpenting hari ini mungkin boleh bergantung kepada segala yang keluar (kenyataan) rasmi pihak kami,” katanya selepas merasmikan Bilik Gerakan Utama (BGU) dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Segama di Up Town i-Peak di sini, pada Sabtu.

Menurut Nurul Izzah yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR, kehadiran pemimpin pusat ke Sabah adalah bagi meraih usaha Ketua Cabang PKR Lahad Datu, Romansa Lamin serta pasukan dan pimpinan negeri bagi menjayakan pelancaran jentera pilihan raya di DUN terlibat.
“Kalau boleh kita amati segala usaha yang dilaksanakan di bawah Presiden kami (Datuk Seri Anwar Ibrahim) lebih-lebih lagi untuk mengupaya dan memperkasa peringkat negeri Sabah termasuklah wang interim yang pertama kali dalam sejarah dilaksanakan tahun 2024 dan diteruskan tahun ini.
“Itulah maksudnya moto ‘Sabah Maju Bersama MADANI’, ‘Segama Maju Bersama MADANI’ yang menjadi penaruh harapan kami bagi Sabah yang jauh lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah merangkap Pengarah Jabatan Pilihan Raya Sabah (JPRS), Datuk Peto Galim menyifatkan pelancaran BGU dan jentera Segama membuktikan PKR kini bersedia bertanding di DUN Segama dengan menampilkan calon yang berkompeten, berwawasan jauh serta berkarisma dalam memperjuangkan nasib rakyat.
“Sebab kita tahu masih banyak masalah di Sabah ini dan dengan penglibatan ramai ADUN dari PKR, sudah pasti memberi impak yang positif pada sistem pemerintahan di Sabah.
“Jadi, saya harap tawaran yang jelas kita berikan kepada rakyat di kawasan Segama pada hari ini dan memberi keyakinan kepada pengundi-pengundi di kawasan ini supaya memberi kita peluang,” ujarnya.






