
SRI AMAN terkenal sebagai antara kawasan yang menjadi pengeluar padi iaitu di Stumbin dan mampu berkembang sebagai pusat agroindustri berasaskan nilai tambah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, dengan teknologi moden dan kerjasama pelbagai kementerian, ia mampu menjadi kenyataan.
Jelasnya, keindahan alam semula jadi seperti Sungai Batang Lupar dengan fenomena benak, budaya masyarakat Iban, Melayu, dan komuniti lain menjadikan Sri Aman sebagai destinasi pelancongan berpotensi tinggi.
“Oleh itu, dengan sokongan infrastruktur oleh Kerajaan Persekutuan khususnya, sektor ini boleh menjana ekonomi rakyat tempatan”, ujar beliau ketika berucap dalam Program Jelajah Jalinan Borneo RMK13 oleh Kementerian Ekonomi di Sri Aman, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Noorazah turut menyeru kepada Kerajaan Persekutuan agar memberikan sokongan lebih besar kepada Sarawak, terutamanya di kawasan Sri Aman dalam beberapa aspek.
“Antaranya adalah berkaitan jaringan infrastruktur luar bandar. Saya berharap agar Kerajaan Persekutuan memberi perhatian dalam memperkukuh jalan penghubung antara kampung dan pekan, serta memperluas capaian internet ke kawasan pedalaman.
“Kerajaan Persekutuan juga perlu memastikan anak muda di Sri Aman mendapat peluang latihan kemahiran, selaras dengan keperluan industri moden,” tegas beliau.
Selain itu, beliau turut berharap agar Kerajaan Persekutuan memberi perhatian terhadap akses modal, bimbingan perniagaan, dan peluang pasaran kepada wanita serta usahawan kecil di Sri Aman.
Foto: Pejabat Residen Bahagian Sri Aman






