
SEORANG anak kapal berkongsi detik mencemaskan apabila bahteranya yang dikenali sebagai Family Boat, kapal utama misi Global Sumud Flotilla (GSF) diserang dron di perairan Tunisia, sehingga menyebabkan kebakaran ketika dalam pelayaran menuju Gaza.
Aktivis kemanusiaan dari Brazil, Thiago Ávila berkata, dia sedang tidur di bahagian atas kapal sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat yang disusuli api marak di bahagian hadapan.
“Saya hanya empat meter dari letupan, bola api besar tiba-tiba muncul dan panasnya terasa membakar wajah. Saya benar-benar menggigil.
“Misi ini kami tahu akan kena serang dan kami tahu bahaya menanti seperti mana masyarakat di Gaza, sukarelawan pekerja dan doktor dibunuh. Mujur pasukan kami sangat terlatih dan kekal tenang.
“Mereka segera mencapai alat pemadam api, berjaya mengawal kebakaran dan kami semua memakai jaket keselamatan selepas itu,” katanya menerusi hantaran di Instagram miliknya, pada Selasa.
Sementara itu, peserta misi, Yusof Omar pula menceritakan bagaimana enam kru sedang bertugas malam melihat sebuah dron menghampiri sebelum menjatuhkan bahan letupan di bahagian haluan kanan kapal yang ketika itu berada berhampiran 150 meter dari pantai Tunisia.

“Letupan itu menyebabkan kebakaran, namun kru kami berusaha memadam api dan berjaya mengawalnya dalam kira-kira empat hingga lima minit sebelum membunyikan penggera.
“Ini bukan kali pertama misi flotila menuju ke Gaza untuk memecahkan kepungan dan membuka laluan kemanusiaan diserang. Ancaman dahsyat ini mesti dihentikan kerana ia membahayakan seluruh dunia,” katanya di Instagram.
Insiden itu nyata meninggalkan kesan mendalam kepada kru dan peserta misi namun mereka tetap menegaskan tekad untuk meneruskan perjalanan ke Gaza membawa misi kemanusiaan.
Global Sumud Flotilla, yang dinamakan sempena perkataan Arab ‘sumud’ bermaksud keteguhan, terdiri daripada puluhan kapal membawa peserta dari pelbagai negara termasuk doktor, wartawan dan aktivis.
Inisiatif itu disertai sekitar ratusan aktivis dari Eropah, Afrika dan Asia.
Konvoi berkenaan memulakan pelayaran dari Barcelona pada akhir Ogos bersama satu lagi kumpulan dari Genoa, Itali, dan dijangka berlepas dari Tunisia menuju ke Gaza pada Rabu, esok.
Misi berkenaan bertujuan memecahkan sekatan Israel dan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.
Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza pada Ahad lalu melaporkan jumlah kematian akibat tindakan Israel menyekat makanan secara sistematik meningkat kepada 387 orang, termasuk 138 kanak-kanak.



