
SIBU — Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M Peringkat Bahagian Sibu berlangsung penuh meriah apabila lebih 6,000 peserta menyertai perarakan di Dataran Tun Tuanku Bujang pada Sabtu.
Dengan bertemakan ‘Ummah Maju Makmur’, program bermula seawal jam 6.30 pagi itu melibatkan perarakan sejauh 3.2 kilometer mengelilingi bandar Sibu, disertai oleh 71 kontinjen daripada pelbagai institusi.
Perarakan tersebut diketuai Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee, bersama Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman; Temenggong Dato Sri Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad; Temenggong Stanley Geramong Bandar serta beberapa tetamu kenamaan lain.
Menurut Annuar, penglibatan masyarakat berbilang kaum dan agama dalam perarakan itu jelas mencerminkan keharmonian serta semangat perpaduan yang kukuh di bandar ini.
“Alhamdulillah, saya lihat semakin ramai masyarakat bukan Islam turut serta dalam perarakan Maulidur Rasul kali ini. Ini membuktikan wujudnya ikatan perpaduan yang sangat baik di Sibu,” katanya kepada pemberita.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana keadaan cuaca yang baik melancarkan perjalanan majlis serta merakamkan penghargaan kepada semua agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membantu memastikan kelancaran acara.
Sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan seperti pertandingan sepanduk, perarakan, kontinjen teramai dan Pesona Busana, dengan tawaran hadiah keseluruhan bernilai RM18,000, termasuk 48 piala dan empat hamper.
Penyertaan melibatkan tujuh kategori iaitu institusi pengajian, sekolah, badan beruniform, jabatan kerajaan, masjid, persatuan serta syarikat swasta.





