ADA suara sumbang yang cuba menggambarkan MyKasih sebagai alat mengkayakan elit. Kononnya rakyat dipaksa membeli di kedai tertentu, kononnya peniaga kecil terpinggir. Tetapi hakikatnya, mereka sengaja menutup mata terhadap kebenaran.
Kerajaan MADANI memperkenalkan MyKasih untuk memastikan bantuan benar-benar sampai ke dapur rakyat. Tidak lagi seperti dahulu di mana akhirnya berlaku kebocoran dan salah guna untuk beli gajet, rokok, malah benda bukan keperluan. Dengan MyKasih, bantuan rakyat dikawal, telus, dan hanya digunakan untuk barangan asas.
Apa yang mereka tidak mahu sebut?
Rangkaian MyKasih bukan terhad kepada taikun semata-mata. Kerajaan sedang memperluas jaringan melibatkan koperasi, kedai komuniti, malah kedai desa supaya peniaga kecil turut mendapat manfaat.
Sistem ini juga mengurangkan ketirisan dan manipulasi politik wang. Tiada lagi tangan-tangan rakus yang boleh memanipulasi bantuan tunai untuk tujuan lain.
Rakyat miskin mendapat jaminan makanan asas, bukannya janji manis yang hanya berakhir dengan hutang baharu.
Ironinya, mereka yang paling kuat menentang MyKasih ialah golongan yang suatu ketika dahulu menjerit kononnya bantuan kerajaan ialah ‘dedak’. Hari ini, mereka pula merayu kembali kepada sistem lama kerana mahu kekayaan berputar tanpa kawalan.
Soalnya, adakah kita mahu kembali kepada cara lama yang penuh ketirisan, atau kita mahu maju dengan sistem yang lebih teratur, telus dan berpihak kepada rakyat marhaen?
MyKasih bukan sekadar bantuan. Ia ialah manifestasi keadilan ekonomi – memastikan rakyat kecil mendapat barangan asas, peniaga desa diberi ruang, dan kekayaan tidak lagi bocor kepada golongan oportunis.
“Belajor gok bersyukur sket, kerajaan beri untuk ringankan bukan tanggung sepenuhnya, malasang kerja sibuk duk ngater, jeng otok gining.”







