
AMAT malang bagi rakyat jika memilki seorang wakil rakyat yang sering mengamalkan ‘tibaiyun’ daripada konsep tabayyun yang dianjurkan oleh Islam.
Tambah memburukkan lagi situasi apabila seorang wakil rakyat yang dipilih melalui proses pilihan raya lebih gemar mengamalkan konsep ‘tibaiyun’ yang mencetuskan provokasi perkauman yang boleh mengganggu gugat keharmonian negara.
Penganalisis politik, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, wakil rakyat yang dipilih perlu menunjukkan cerminan yang baik kepada rakyat dan wajar mendukung politik dasar dan nilai tinggi, bukan menghasut rakyat dengan politik persepsi dan kebencian.
Meskipun Mohd Hafez Sabri telah memohon maaf kerana mengaitkan seorang wanita kaum Cina dalam insiden serangan terhadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, tetapi Azhar menegaskan, ‘kerosakan’ telah berlaku hasil perbuatan melulu tanpa usul periksa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi itu.
Beliau berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja mencalar reputasi seorang wakil rakyat, tetapi turut mencetuskan keresahan awam serta membuka ruang kepada perbalahan kaum yang sepatutnya tidak lagi muncul tatkala negara telah mencapai kemerdekaan selama 68 tahun.
“Memohon maaf selepas menyebar fitnah bukanlah penyelesaian mutlak. Kita bimbang budaya ‘tibaiyun’ ini semakin menular dalam kalangan ahli politik, iaitu menyerang dahulu, siasat kemudian. Ini bukan prinsip yang dianjurkan Islam, jauh sekali mencerminkan akhlak seorang pemimpin,” katanya.

Azhar yang juga Kertua UMNO Bahagian Beruas berkata, tindakan Ketua Pemuda Pas Perak itu merupakan satu tindakan yang melulu sekali gus boleh membawa impak besar dan merosakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
“Ingatlah, rakyat melihat dan menilai. Wakil rakyat bukan sahaja dipilih untuk bersuara, tetapi untuk menjadi penyambung kasih antara rakyat dan negara, bukan penyebar api yang membakar kepercayaan antara kaum,” katanya ketika dihubungi, hari ini
Tambah Azhar, wakil rakyat sewajarnya menjadi agen perpaduan yang mengangkat prinsip tabayyun iaitu menyemak dan menyiasat terlebih dahulu sebelum menyebar maklumat sekali gus memelihara keamanan dan mengelakkan retak menjadi belah.
Dalam hal ini, Azhar menegaskan, pihak berkuasa perlu memainkan peranan lebih tegas agar perkara sama tidak berulang.
“Kalau dibiarkan, esok lusa makin ramai politikus guna taktik sama, bakar, minta maaf, dan lepas tangan. Ini bukan budaya politik matang yang kita mahu,” katanya.
Justeru, Azhar menyeru rakyat agar lebih bijak untuk memilih pemimpin pada pilihan raya akan datang kerana pemimpin bukan sekadar lantang tetapi perlu matang berpolitik dan tidak mencari simpati melalui sentimen murahan.
“Sebagai pengundi, kita bukan sekadar ada kuasa undi, kita ada tanggungjawab moral untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak.
“Kalau kita masih pilih berdasarkan populariti kampung, rajin datang kenduri, atau sebab dia ‘orang kita’, maka jangan pelik kalau negara kita terus statik atau makin mundur dari segi integriti, dasar, dan hala tuju.
“Wakil rakyat bukan hanya simbol; mereka penentu dasar, pembuat keputusan dan suara kita di Dewan. Mereka digaji dengan wang rakyat, maka biarlah setiap sen itu berbaloi dengan kerja yang telus, berkualiti dan berjiwa besar. Jangan beri pangkat ‘Yang Berhormat’ kepada mereka yang tak tahu menghormati amanah rakyat,” katanya.







