
KEMAMAN – Suasana di Wad Bersalin Hospital Kemaman semalam bertambah meriah apabila sembilan bayi lahir pada tarikh keramat sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Ahli Lembaga Pelawat (ALP) Hospital Kemaman yang diketuai timbalan pengerusi, Masrina Malik hadir meraikan kelahiran bayi merdeka itu bersama beberapa ahli lain.
Sebagai tanda ingatan, setiap ibu yang melahirkan anak pada tarikh bersejarah itu menerima cenderahati khas daripada pihak ALP.
Masrina berkata, kelahiran bayi pada 31 Ogos bukan sahaja membawa makna istimewa kepada keluarga, tetapi turut memberi semangat baharu buat seluruh rakyat Malaysia.
“Bayi-bayi merdeka ini simbol harapan negara. Kami berbesar hati dapat bersama keluarga yang meraikan cahaya mata pada hari penuh bersejarah ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga kerja Hospital Kemaman khususnya jururawat serta petugas kesihatan yang komited memastikan keselamatan ibu dan bayi.
Sementara itu, ibu yang diraikan menyifatkan kelahiran pada Hari Kebangsaan sebagai anugerah istimewa yang akan dikenang sepanjang hayat.
ALP Hospital Kemaman turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua keluarga terbabit serta mendoakan bayi merdeka itu membesar sebagai insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.





