
KOTA KINABALU – Mufti Kerajaan Negeri Sabah dan Timbalan Mufti menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terlibat dalam penggalian semula jenazah Zara Qairina Mahathir dan terhidu wangian seperti yang ditularkan menerusi sebuah video ‘Penggali Kubur’.
Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar berkata, penafian itu merujuk pada saat ke lapan hingga 20 dalam sebuah video berdurasi 46 saat yang tular sejak 28 Ogos lalu kerana ia tidak benar, tidak berasas dan boleh mencemarkan nama baik institusi kemuftian negeri Sabah.
“Kenyataan tersebut adalah fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta kepercayaan masyarakat terhadap Pejabat Mufti Negeri Sabah.
“Pihak yang terlibat diminta menarik balik penyataan tersebut serta memohon maaf secara lisan dan bertulis sebelum tindakan undang-undang dilaksanakan,” katanya dlaam kenyataan media, pada Ahad.
Sehubungan itu, Pejabat Mufti Sabah menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih.
Menurut Bungsu, tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan kenyataan di dalam video tersebut.
“Pejabat Mufti Negeri Sabah berharap agar kenyataan ini dapat menjelaskan kedudukan sebenar dan menghentikan sebarang salah faham berkaitan isu berkenaan,” katanya.
Pejabat Mufti Sabah turut menyeru agar orang ramai menanggapi isu Allayarhamah Zara Qairina dengan penuh kesederhanaan dan keinsafan agar tidak melampaui batas mengikut irsyad hukum (panduan hukum Islam).





