KEHADIRAN Biodata Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, mencetuskan sorakan gemuruh apabila mendendangkan lagu tema sambutan Hari Kebangsaan 2025, Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni, di Dataran Putrajaya, pada pagi Ahad.
Lontaran vokal penyanyi tersohor tanah air itu nyata memukau puluhan ribu pengunjung yang turut sama menyanyikan lagu ciptaan komposer muda, Affan Mazlan, sekali gus menyemarakkan lagi semangat patriotisme.
Persembahan penuh penghayatan oleh Siti Nurhaliza bukan sahaja menghidupkan tema sambutan tahun ini, malah memberikan aura istimewa pada acara bertaraf nasional yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara.
Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 yang berlangsung di Dataran Putrajaya membuka tirai secara rasminya pagi ini dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Pelbagai persembahan serta perarakan menghiasi sambutan tahun ini membabitkan 14,010 peserta, 81 kontinjen, 21 kumpulan pancaragam, 437 aset darat dan udara serta 116 ekor haiwan dalam perkhidmatan dan tujuh kereta berhias.
Mereka mewakili pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.
Sambutan bertambah meriah dengan persembahan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menampilkan aksi pesawat pejuang Su-30MKM, sebelum acara ditutup dengan persembahan kebudayaan “Citra MADANI” anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.





