
MAJLIS Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 yang berlangsung hari ini menjadi wadah penting bagi menyemai semangat patriotisme serta memperkukuh azam rakyat demi masa hadapan negara yang lebih gemilang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat khas tersebut pada pukul 11 pagi di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Menerusi hantaran dalam laman Facebook beliau semalam, Perdana Menteri memaklumkan bahawa amanat tersebut bukan sekadar ucapan tahunan, tetapi merupakan medan untuk mengenang perjuangan silam yang telah membentuk jati diri negara bangsa hari ini.
Majlis yang diadakan pada sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan itu menyasarkan kehadiran lebih 4,000 tetamu, termasuk penjawat awam, anggota badan beruniform, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, belia, usahawan serta warga kerja sektor swasta.
Antara pengisian utama majlis ialah lafaz ikrar Rukun Negara oleh sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) bersama murid-murid Tabika Perpaduan, persembahan Harmoni MADANI, serta nyanyian lagu patriotik ‘Tanggal 31’.
Majlis ini turut disiarkan secara langsung menerusi semua saluran utama termasuk RTM, Media Prima, Astro Awani, Bernama TV, TVS, TV AlHijrah, serta pelantar media sosial seperti Facebook Live.
Sementara itu, Sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang membawa tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ akan diadakan di Dataran Putrajaya bermula pukul 7 pagi, Ahad ini.




