
RANAU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan penubuhan Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) sebagai pelaburan jangka panjang negara dalam melahirkan pemimpin masa depan yang bebas daripada rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
Menurut Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PENMAS) SPRM, Datuk TPj Ahmad Nizam Ismail, penubuhan AMAR sangat penting dalam menyebar luas mesej dalam melahirkan generasi pelapis kepimpinan negara yang teguh mempertahankan nilai integriti.
“Ia menekankan kepentingan para pelajar menjunjung nilai integriti akademik dalam usaha melahirkan pelajar TVET yang mempunyai kompetensi tinggi dan berdaya saing apabila tamat pengajian kelak.
“Integriti Akademik ini lazimnya dirujuk sebagai keaslian dalam menyelesaikan tugasan serta ketelusan dalam penilaian, adalah asas yang tidak boleh dikompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Advokasi Antirasuah Kem Angkatan Mahasiswa Antirasuah (Kem AMAR) Institusi Pendidikan MARA (IPMa) Siri 2, 2025, di Damai Eco Ranch, di sini pada Ahad.
Sebanyak 55 Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) ditubuhkan di seluruh negara sejak tahun 2013, yang bertujuan mempergiat advokasi integriti antirasuah khususnya kepada pelajar TVET Borneo.
Ia sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Unit Integriti, Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di samping memperkasa generasi muda agar membesar sebagai masyarakat bebas rasuah.
Sementara itu, Pengarah MARA Sabah, Dr Shahrizin Abdul Sarhadat menyambut baik inisiatif kem seumpama ini diadakan dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan lagi di masa depan.
“Pengukuhan nilai integriti perlu diterapkan dalam diri setiap pelajar sebagai modal awal membina benteng moral tersebut,” katanya.

Sebagai rekod, kem tersebut berlangsung bermula 22 sehingga 24 Ogos yang melibatkan seramai 81 pelajar pelbagai jurusan pengajian, Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu antaranya Diploma Kompetensi Elektrikal, Diploma Teknologi Automotif 4WD dan Diploma Teknologi Automotif.
Turut hadir, Pengarah SPRM Negeri Sabah, Datuk TPj Fuad Bee Basrah; Pengarah IKM Kota Kinabalu, Abdul Munap Tahir dan Pengetua MRSM Ranau, Ismail Badri.







