
KUCHING – Hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak terus terjalin dengan baik serta harmoni, menjadi asas penting dalam memastikan pembangunan negara berjalan seiring demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Datuk Seri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel berkata, kerjasama dua hala sentiasa terpelihara dan diperkukuh meskipun ada sesekali wujud perbezaan pandangan.
“Segala isu dapat diselesaikan dengan baik melalui semangat perbincangan yang matang dan penuh muafakat. Di bawah kepemimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
“Dalam rumah tangga, jika ada perselisihan kecil, kita selesaikan dengan baik. Begitu juga hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, semuanya diselesaikan secara harmoni demi kebaikan dan manfaat rakyat,” jelasnya ketika menghadiri sebagai panel Pewarta Business Writing Workshop dianjurkan oleh Pertubuhan Wartawan Bebas Kuching (Pewarta) pada Sabtu.
Beliau turut memberi contoh bagaimana isu berkaitan karbon dapat ditangani melalui perundingan yang telus, membuktikan keakraban kerjasama antara kedua-dua pihak.
Kesepaduan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Persekutuan dan Sarawak bukan sahaja mampu mencari titik persefahaman, malah sama-sama komited untuk membangunkan negeri, khususnya dalam memastikan manfaat terus sampai kepada rakyat.






