LENGGONG – Kerajaan Perak terus memperkukuh inisiatif membantu rakyat mendepani tekanan kos sara hidup dengan merancang menambah bilangan lori jualan bergerak Jualan Sejahtera Rakyat, bagi memastikan lebih ramai penduduk luar bandar menikmati barangan keperluan pada harga berpatutan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah itu bakal meluaskan capaian jualan bergerak yang kini beroperasi dengan empat buah lori mengikut jadual masa dan lokasi ditetapkan.
Menurutnya, usaha ini adalah kesinambungan daripada komitmen kerajaan negeri menyalurkan subsidi RM860,000 tahun lalu untuk membolehkan rakyat membeli barangan keperluan dengan harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada pasaran.
“Dengan adanya jualan bergerak ini, rakyat boleh mendapatkan barang pada harga jauh lebih murah berbanding tempat lain.
“Kita sedang berusaha menambah lori baharu supaya lebih banyak kawasan luar bandar menerima manfaat, bukan hanya di Lenggong, tetapi di seluruh negeri.
“Semakin banyak lori ditambah, semakin luas capaian kita untuk membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah,” katanya ketika berucap pada Program One Stop Center (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak Peringkat Daerah Lenggong 2025 di Kompleks Komuniti Desa Kemas, di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed.
Saarani menegaskan, langkah memperluas Jualan Sejahtera ini adalah sebahagian strategi kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan, terutama dalam menghadapi cabaran harga barangan keperluan yang semakin meningkat.
Pada program sama, Jualan Sejahtera Rakyat anjuran Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) menawarkan 74 jenis barangan asas dengan potongan harga sehingga 20 peratus.
Antara tawaran yang menarik perhatian pengunjung ialah ayam segar berharga RM6 seekor dan telur ayam sepapan pada harga RM8.






