Anwar diheret ke mahkamah manifestasi ‘politik buli’ pembangkang

“JIKA tak mampu tumbangkan di medan demokrasi, seret beliau ke gelanggang mahkamah.” Itulah realiti yang sedang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.

Penganalisis politik, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, menambah urusan Perdana Menteri di gelanggang mahkamah ini juga disifatkan sebagai ‘politik buli’ kerana musuh sengaja menyerang beliau dengan pelbagai cabaran saman dan tuduhan bukan atas kegagalan tadbir urus, tetapi kerana kegagalan pihak lawan menumbangkannya secara sah.

“Selepas hampir tiga tahun menerajui negara, dengan pelbagai pencapaian besar dan kestabilan politik yang dicapai, Anwar tidak pernah diberi laluan mudah oleh pihak pembangkang. Sebaliknya, beliau terus ‘dibuli’ secara sistematik menerusi serangan undang-undang dan fitnah media sosial yang dirancang.

“Pembangkang nampaknya tidak tahu erti letih. Mereka tak puas hati, bukan kerana Anwar gagal mentadbir, tapi kerana mereka gagal menjadi kerajaan.

“Musuh politik gagal menjatuhkan Anwar, inilah cara baharu mereka, membuli dengan pelbagai rekayasa tuduhan, pertikaian keabsahan, saman untuk apa? Hanya satu matlamat iaitu untuk menghakis kepercayaan rakyat kepada beliau dan Kerajaan MADANI,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata, mengheret Perdana Menteri ke gelanggang mahkamah dengan pelbagai dakwaan bukanlah motif sebenar pembangkang untuk mencari keadilan, sebaliknya ini merupakan agenda halus mereka untuk menghakis kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Anwar dan Kerajaan MADANI.

“Lawan tak menang di peti undi, sekarang lawan di mahkamah. Itulah strategi murahan pembangkang yang nampaknya tidak pernah reda dendam terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Lihat saja, belum pun habis satu isu, satu lagi saman dicampak. Dari pengampunan diraja, keabsahan pelantikan, sampai ke ucapan politik, semuanya dicabar di mahkamah. Tun M, proksi-proksi parti lawan, individu-individu ‘berbayar’ semua beratur mahu jatuhkan Anwar melalui pintu belakang.

“Mereka tahu rakyat makin selesa. Bantuan makin sampai. Pelaburan makin masuk. Negara makin stabil. Jadi apa lagi senjata yang tinggal? Cipta persepsi. Tanam keraguan. Lukis imej buruk Anwar melalui siri-siri saman dan serangan peribadi,” katanya.

Setakat ini, terdapat satu saman utama yang difailkan untuk mencabar keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia. Saman ini difailkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy pada 12 Ogos lalu.

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memfailkan saman fitnah berjumlah RM150 juta terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung dakwaan bahawa beliau mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.

Saman ini berkaitan dengan kenyataan yang dibuat oleh Anwar Ibrahim semasa Kongres Nasional Khas Malaysia MADANI: “Pelaksanaan Sebuah Idealisme” pada Mac 2023. Dalam ucapan tersebut, Anwar didakwa membuat kenyataan yang membawa maksud bahawa Mahathir telah membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya. Mahathir mendakwa kenyataan tersebut adalah fitnah dan bertujuan mencalar imej serta reputasinya sebagai negarawan dan bekas perdana menteri.

Azhar menambah, mereka tidak boleh menerima Anwar hari ini bukan lagi tahanan politik, tetapi Perdana Menteri Malaysia. Bukan lagi orang yang dipinggirkan, tapi kini di tengah pentas dunia. Maka dicipta skrip baharu untuk terus menjatuhkannya dengan apa cara sekalipun.

“Adakah ini semua kebetulan? Tidak, ini adalah agenda terancang untuk menghancurkan reputasi seorang pemimpin yang berjaya menstabilkan negara dalam masa singkat. Pelabur masuk, ringgit kukuh, inflasi terkawal, ekonomi melonjak. Tapi ini semua tidak penting bagi pembangkang. Yang penting bagi mereka hanyalah satu, tumbangkan Anwar, walau dengan fitnah, saman, atau doa kematian.

“Soalnya, kalau Anwar diganti, siapa pengganti? Itu mereka sendiri pun tidak sepakat. Nak perintah negara, tapi calon Perdana Menteri pun takut sebut.

“Rakyat perlu buka mata. Hentikan buli politik ini. Ini bukan masa untuk agenda peribadi dan dendam politik. Ini masa untuk bina semula negara,” katanya.

Azhar juga mengajak rakyat betapa pentingnya untuk bertanya, “Adakah semua tindakan undang-undang ini demi kepentingan negara, atau hanya dendam politik yang belum padam?”

“Ironinya, Anwar yang dulunya dizalimi sistem, kini bersabar pula menghadapi serangan dari mereka yang kononnya mahu ‘menegakkan sistem’. Beliau difitnah, namun tetap mendoakan keselamatan musuhnya. Beliau diasak, tapi tetap bekerja keras untuk rakyat termasuk negeri yang menolaknya.

“Inilah wajah seorang pemimpin yang tidak tunduk kepada tekanan, tidak melawan kebencian dengan kebencian. Tapi pembangkang masih mahu menjatuhkan beliau melalui jalan belakang, sebab mereka tahu, mereka takkan menang pada masa depan.

“Rakyat tak bodoh. Mereka melihat. Tapi pembangkang lupa, rakyat hari ini bukan rakyat yang mudah diperbodoh. Pembulian politik ini hanya membuka mata lebih ramai orang bahawa Anwar sedang diuji bukan kerana gagal, tapi kerana beliau tidak tunduk. Dan seperti biasa, orang yang benar, akan terus sabar dan mara,” katanya.

Related Posts

RM50 juta dana PTPK sokong pelaksanaan TVET 2.0

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju membenarkan penggunaan sehingga RM50 juta daripada dana Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi menyokong pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Orang politik tunggang krisis diraja Negeri Sembilan?

PENGLIBATAN beberapa tokoh politik dalam kemelut membabitkan institusi diraja Negeri Sembilan didakwa hanya memburukkan lagi keadaan dan berisiko menjejaskan kemuliaan institusi Raja serta Undang di negeri berkenaan. Pemerhati politik, Ahmad…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lelaki positif dadah ditahan dalam Op Tapis Khas di Saratok

Lelaki positif dadah ditahan dalam Op Tapis Khas di Saratok

Rangau Valley bakal jadi pemangkin pembangunan baharu Limbang

Rangau Valley bakal jadi pemangkin pembangunan baharu Limbang

PH dan rakyat Johor sentiasa bersedia – AMANAH

PH dan rakyat Johor sentiasa bersedia – AMANAH

Young Syefura kecewa penerima bantuan curi barangan milik pegawai

Young Syefura kecewa penerima bantuan curi barangan milik pegawai

Surau Ad-Dhuha lokasi Reachout Komuniti Sungai Lembing

Surau Ad-Dhuha lokasi Reachout Komuniti Sungai Lembing

RM50 juta dana PTPK sokong pelaksanaan TVET 2.0

RM50 juta dana PTPK sokong pelaksanaan TVET 2.0