
KOTA KINABALU – Peguam, Datuk Ram Singh menafikan dakwaan yang tular di media sosial serta mencemarkan integriti beliau terhadap satu kes yang sedang dibicarakan di Mahkamah Kanak-Kanak.
Jelasnya, tuduhan tersebut adalah tidak benar dan mencemarkan reputasinya, jika fitnah berterusan tindakan undang-undang akan diambil.
“Saya ingin menegaskan dengan jelas dan tanpa sebarang keraguan bahawa dakwaan tersebut adalah sama sekali tidak benar, berniat jahat serta bertujuan mencemarkan reputasi profesional saya.
“Sepanjang masa, saya sentiasa menjalankan tanggungjawab mengikut piawaian etika tertinggi profesion guaman serta mematuhi peraturan kelakuan profesional,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata sebagai seorang pengamal undang-undang, kewajipannya adalah untuk menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih dan melaksanakan dengan penuh amanah.
“Saya tidak pernah menerima, meminta atau dipengaruhi oleh sebarang imbuhan daripada mana-mana pihak politik atau mana-mana pihak berkepentingan, mahupun membenarkan sebarang pertimbangan tidak wajar mempengaruhi penghakiman saya,” katanya.
Sementara itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tohmahan yang tidak berasas.
Tegasnya, sekiranya fitnah ini berterusan beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil segala tindakan undang-undang yang perlu bagi melindungi nama baik dan kedudukan profesionalnya.







