89 65 66 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 44 32 68 97 116 111 39 32 83 101 114 105 32 65 110 119 97 114 32 73 98 114 97 104 105 109 44 32 115 101 109 97 115 97 32 77 97 106 108 105 115 32 65 109 97 110 97 116 32 80 101 114 100 97 110 97 32 80 101 114 107 104 105 100 109 97 116 97 110 32 65 119 97 109 32 40 77 65 80 80 65 41 32 107 101 45 50 48 32 34 80 101 114 107 104 105 100 109 97 116 97 110 32 65 119 97 109 32 77 65 68 65 78 73 34 32 100 105 32 80 117 115 97 116 32 75 111 110 118
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak atau individu yang sengaja menggugat keharmonian, keamanan dan keselamatan negara.
Anwar menegaskan, masa untuk memberi amaran atau teguran sudah berakhir demi mengelakkan negara terjerumus ke dalam keadaan yang tidak diingini.
“Maka dengan mandat diberikan, saya ingin jelaskan di sini, daripada hal sebesar kematian anak kita, Zara Qairina Mahathir di Sabah, kepada isu Jalur Gemilang yang harus kita muliakan, semua ini menjadi agenda untuk menghangatkan suhu.
“Sebab itu saya menggesa dan beri arahan jelas kepada badan penguatkuasaan, ada sahaja unsur, tokoh besar atau kecil, tokoh politik atau masyarakat yang terbabit dalam jenayah ugutan atau hasutan seperti ini masa amaran sudah berakhir. Orang mual,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya hari ini.
Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Anwar menegaskan, demokrasi menjadi tonggak pemerintahan negara, namun sikap melampau, keangkuhan dan kebiadaban mesti dihentikan.
“Sikap buli, merendahkan darjat orang berdasarkan kaum, keturunan atau warna kulit mesti dihentikan dengan seluruh kekuatan. Tindakan tegas wajib diambil. Kalau ada rakan yang mempunyai amanah tetapi tidak bersedia, beritahu saya, kita tukar kepada orang yang berprinsip tegas,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas itu bukan bertujuan untuk menjadi popular atau menarik minat rakyat, tetapi bagi menyelamatkan negara.
“Kita ada pengalaman bibit perpecahan dan tragedi rusuhan kaum. Mulanya kecil, kali ini mungkin bendera, dahulu mungkin siaran atau berita palsu. Jangan diizinkan perkara ini berlaku,” ujarnya.
Perdana Menteri sekali lagi menegaskan kerajaan akan terus menjamin keselamatan rakyat tanpa mengira kaum atau agama serta tidak akan bertolak ansur dalam soal keganasan.
Justeru, beliau meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa membuat andaian awal yang boleh menghukum tanpa fakta.
“Serahkan kepada kebijaksanaan badan penguat kuasa. Ini belum apa-apa sudah menuding, (konon) anak individu kenamaan ini atau orang itu. Kita siapa? Tutup sahaja pejabat polis kalau semua keputusan kita buat tanpa siasatan. Harus ada siasatan segera dan adil, jangan hukum sembrono,” katanya.



