
KOTA KINABALU – Solat hajat, bacaan Yasin, tahlil dan doa kesejahteraan bagi mendoakan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir diadakan serentak seluruh masjid dan surau di negeri Sabah malam ini, anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), pada Khamis.
Di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu sahaja, kira-kira 5,000 umat Islam hadir dengan niat khusus memohon agar kebenaran terserlah, segala urusan dipermudahkan, fitnah terangkat serta trauma pelajar dihilangkan.

Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti solat hajat, bacaan Yasin, tahlil dan doa.
Majlis dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama Isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datuk Juliah Salag dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama dan Exco Pendidikan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif bersama isteri, Datin Lenny Natasha Tun Musa.
Majlis ini menjadi simbolik solidariti umat Islam di seluruh negeri dalam mendoakan kesejahteraan roh Allahyarhamah Zara Qairina serta memperkukuh semangat kebersamaan menghadapi ujian ini.
Majlis diakhiri dengan solat Isyak seterusnya keberangkatan pulang Tun Musa dan Toh Puan Faridah.





