
KUALA KANGSAR – Jambatan Manong yang menghubungkan Kampung Seberang Manong dengan pekan Manong di Kampung Simpang Melembu kini rasmi dikenali sebagai Jambatan Sultan Muzzaffar Shah selepas disempurnakan perasmiannya oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Dataran Amanjaya Manong, pada Khamis.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim turut hadir mengiringi keberangkatan baginda.

Projek pembinaan jambatan bernilai RM37.9 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) itu bermula pada 2017 dan siap serta dibuka kepada umum pada Oktober 2019.
Struktur dua lorong dua hala sepanjang 300 meter itu menghubungkan Jalan Manong dengan Jalan Seberang Manong, selain melibatkan pembinaan jalan baharu sepanjang tiga kilometer, naik taraf persimpangan, serta pemasangan perabot dan lampu jalan.
Kemudahan baharu ini menjadi laluan alternatif penting yang memendekkan masa perjalanan penduduk Kampung Seberang Manong ke pekan Manong kepada hanya 13 minit (3.5 km) berbanding 40 minit (36 km) sebelum ini.

Sebelum wujudnya jambatan, penduduk setempat bergantung kepada perkhidmatan bot penambang untuk menyeberangi Sungai Perak.



