
KUCHING – Kawasan Padang Pasir, yang satu ketika dahulu sinonim sebagai lokasi dagangan tradisional di Kuching, kini bakal melalui transformasi menyeluruh apabila dipilih menjadi stesen utama sistem ART (Autonomous Rapid Transit).
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan kawasan itu sebagai sebahagian daripada Kuching Sentral merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang kerajaan negeri dalam memperkasa Bandar Pintar Kuching, berteraskan mobiliti pintar dan infrastruktur moden.
“Padang Pasir dahulu tempat orang berdagang atau menurut orang tempatan merupakan tempat orang berjual-beli. Kini, kita bangunkan kawasan ini sebagai stesen utama ART, hab penting dalam perancangan Kuching moden,” ujarnya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Jambatan Sungai Bintangor, malam Selasa.
Menurut beliau, lokasi tersebut yang pernah mempunyai landasan kereta api suatu masa dahulu kini diberi nafas baharu dengan pengangkutan moden berasaskan teknologi dan kecekapan tenaga, selaras dengan visi Sarawak ke arah negeri mesra alam dan mampan.
Abang Johari menekankan transformasi Padang Pasir mencerminkan keupayaan masyarakat tempatan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman tanpa mengetepikan sejarah dan jati diri.
“Kalau kita bina jambatan moden seperti di Rotterdam, tetapi kawasan sekitarnya terbiar, itu tidak memberi makna. Pembangunan mesti seimbang – moden, namun kekal berpaksikan identiti masyarakat,” katanya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa projek sekitar Padang Pasir termasuk Jambatan Datuk Amar Juma’ani, Hikmah Exchange dan rangkaian sistem ART adalah sebahagian daripada pelan pembangunan menyeluruh bagi kawasan Satok, yang menggabungkan elemen bandar dan kampung secara inklusif.
Premier turut menyeru masyarakat kampung agar bersama menyokong dan mengambil bahagian dalam usaha membangunkan Satok secara moden, tanpa mengorbankan hak milik atau kepentingan asal mereka.
“Kita mahu Satok bangkit sebagai kawasan bandar pintar yang berkembang maju dengan masyarakatnya sekali turut maju. Inilah pendekatan berhikmah yang kita bawa,” tegasnya.
Pembangunan Padang Pasir bukan sahaja bakal mengubah landskap kawasan tersebut sebagai hab pengangkutan dan komersial baharu, tetapi juga menjadi lambang perpaduan, kemajuan dan kesediaan Sarawak menuju masa depan yang berasaskan sejarah, teknologi dan nilai budaya tempatan.
FOTO: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)







