
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa usaha mediasi antara Thailand dan Kemboja dijalankan melalui mekanisme yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua negara, dengan Malaysia berperanan sebagai pengerusi, tuan rumah dan pemerhati dalam proses rundingan damai berkenaan.
Menurut Anwar, pelaksanaan peranan Malaysia itu hanya berlaku setelah memperoleh persetujuan rasmi daripada kedua-dua negara terbabit.
“Mekanisme yang diputuskan ialah Malaysia bertindak sebagai pengerusi, tuan rumah dan pemerhati (chair, host, witness). Itu yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara, Kemboja dan Thailand,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan daripada Datuk Seri Shahidan Kassim (PN–Arau) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang menggunakan Forum ASEAN bagi mempertahankan negara anggota daripada sebarang campur tangan pihak luar.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi semua pemimpin ASEAN untuk mendapatkan mandat dan sokongan mereka berkaitan usaha mediasi tersebut, selain melaporkan setiap perkembangan kepada negara-negara anggota.
Beliau menegaskan bahawa semua langkah yang diambil adalah demi mempertahankan semangat kesepaduan dan kerjasama ASEAN dalam menangani isu-isu serantau secara bersepadu dan berhemah.
“Saya tidak mahu menyebut ia satu kejayaan besar kerana keadaan masih sensitif, tegang, dan wujud unsur saling tuduh-menuduh antara kedua-dua pihak.
“Saya tidak mahu sebut kejayaan sangat. Sebab keadaan masih lagi sensitif, tegang dan ada saling tuduh-menuduh. Tetapi yang baiknya adalah setiap kali ada (ketegangan), terus dirujuk, sama ada (kepada) Menteri Luar ataupun kepada saya dan kini juga kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia.
“Ini menyebabkan kedudukan Malaysia dan ASEAN itu diberikan keutamaan,” katanya.



