
PENAMPANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan membangunkan Sistem Repositori Harga dan Bekalan Makanan sebagai langkah strategik utama untuk memperkukuh kawal selia rantaian bekalan dan menangani isu kos sara hidup rakyat.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sistem ini akan menyediakan data harga dan bekalan secara menyeluruh melibatkan semua peringkat daripada pengeluar, pemborong, peruncit hingga ke pengguna.
“Semasa ini, data harga hanya diperoleh di peringkat peruncitan melalui pemantauan pegawai KPDN.
“Dengan sistem repositori ini, kerajaan dapat memantau pergerakan harga serta mengenal pasti sebarang aktiviti pencatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Rancakkan MADANI Sabah di Dewan International Technology & Commercial Centre Penampang (ITCC), pada Ahad.
Tambahnya, pembangunan sistem ini selaras dengan teras ‘Menaik Lantai’ dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan dijangka memperkukuh pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Persaingan 2010.
“Ini membolehkan kerajaan mengambil tindakan tepat dan berasaskan data terhadap mana-mana pihak yang cuba manipulasi harga termasuk oleh orang tengah,” ujarnya.
Dalam pada itu, KPDN turut melaksanakan pelbagai langkah strategik sepanjang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) termasuk penambahbaikan infrastruktur, pemerkasaan sektor peruncitan, serta penguatkuasaan kawal selia yang lebih menyeluruh dan bersepadu.
Mengulas lanjut, Armizan memaklumkan bahawa kajian awal mengenai perbezaan harga antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan telah dimulakan awal tahun ini dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Jelasnya, laporan awal menunjukkan wujud barangan seperti ayam yang dijual pada harga lebih tinggi di Sabah dan Sarawak walaupun mempunyai bekalan tempatan.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Sabah menubuhkan Jawatankuasa Penstabilan Harga negeri Sabah yang dipengerusikan bersama beliau dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk James Ratib.
Sementara itu, beliau berkata pendekatan Kerajaan MADANI tidak hanya tertumpu kepada kawalan harga, sebaliknya bertujuan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat melalui pelbagai inisiatif.
“Tiga komponen asas yang diberi keutamaan ialah perumahan mampu milik, reformasi pendidikan untuk kebolehpasaran rakyat, dan mewujudkan ekosistem pekerjaan yang kondusif,” jelasnya.





