
KOTA KINABALU – Himpunan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) mencatatkan lebih 163,000 pengunjung dengan nilai jualan sebanyak RM1.6 juta setakat pukul 7 malam, pada Sabtu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran bukan sahaja dari seluruh Sabah, malah turut melibatkan pengunjung dari Brunei, Filipina, Indonesia dan Semenanjung Malaysia.
“Ramai yang hadir untuk sama-sama memeriahkan himpunan besar ini yang mencerminkan minat dan sokongan terhadap sektor agromakanan negara.
“Sabah kini muncul sebagai antara lokasi utama yang menyaksikan pelbagai usaha baharu dalam sektor pertanian dan agro-makanan.
“Buah avocado yang ditanam di Sabah oleh anak muda di Tawau amat segar dan cantik. Ini satu perkembangan yang sangat membanggakan.
“Tanaman bawang di sini tumbuh dengan begitu subur. Dalam siaran langsung saya bersama RTM tadi, saya telah menunjukkan bawang yang dihasilkan di Sabah cukup cantik dan bermutu tinggi.
“Sabah juga terkenal dengan ternakan. Lembu-lembu yang diternak di sini semuanya subur, segar dan gemuk-gemuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Konvensyen HPPNK 2025 di Hotel Le Meridien, pada Sabtu.
Mohamad berkata, negeri di bawah bayu ini mempunyai potensi besar untuk menjadi tapak utama pengeluaran makanan, sekali gus menyumbang kepada keterjaminan bekalan makanan bukan sahaja di Sabah, malah di seluruh negara.
“Saya sentiasa mendoakan agar kita semua terus komited dalam memajukan sektor pertanian negara serta memperkukuh keupayaan untuk menghadapi cabaran masa depan dengan penuh semangat dan kreativiti.
“Ini menjadi satu anjakan baharu dalam kalangan generasi muda, sama ada di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata semakin ramai anak muda kini menceburi bidang pertanian bukan lagi sebagai kerja sambilan, tetapi sebagai kerjaya profesional sepenuh masa.







