ISU karikatur monyet yang dikongsi oleh Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari kini jadi bahan sindiran ramai, bukan kerana rakyat suka mengecam, tapi kerana skripnya terlalu pelik untuk tidak diketawakan.
Bayangkan, seorang pemimpin politik yang sendiri memuat naik satu karikatur berunsur monyet, kemudian apabila orang lain mentafsir, mengulas dan menegur, dia pula rasa terhina, lalu nak saman?
Ini ibarat lontar batu sembunyi tangan. Atau lebih tepat, lontar karikatur, saman penafsir.
Pemimpin Pas itu dengan yakin menyatakan bahawa tohmahan terhadapnya adalah berdasarkan “pemahaman yang salah”.
Persoalannya, siapa yang buat posting asal? Siapa yang kongsi visual? Adakah wajar meletakkan gambar monyet ketika negara sedang berusaha untuk mendamaikan konflik Thailand–Kemboja?

Netizen tak perlukan manual tafsiran untuk memahami mesej sinikal dalam karikatur.
Suasana politik menjadi pelik susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru saja diangkat dunia kerana mendamaikan dua negara jiran, netizen tanpa berlengah masa telah mengecam hantaran Fadhli yang dua hari sebelum itu mempersendakan Perdana Menteri dan dua pemimpin negara jiran dengan imej haiwan.
Netizen tanpa segan silu berkongsi hantaran Fadhli itu yang disifatkan amat melampau kerana lebih taksub kepartian berbanding memiliki sifat patriotik untuk negara.

Dan apabila reaksi rakyat datang, jawapan pula ialah “kau salah faham”, dan… “aku nak saman.”
Tinjauan di media sosial, rata-rata netizen mengecam tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas itu yang mahu mengambil tindakan saman terhadap orang lain hasil tindakan ‘kebodohan’ beliau sendiri.
Pelbagai kecaman netizen dihamburkan kepada beliau seperti yang tertera dalam tangkap layar di bawah.

Beginilah, kalau tak mampu menanggung akibat komunikasi politik yang longgar, jangan bermain api dengan satire.
Dunia digital ini bukan tempat untuk ‘cuba-cuba’ jadi sinikal, lepas tu minta simpati bila kena backlash.
Kesimpulannya, kalau takut dilambung ombak, jangan berfacebook di tengah badai.






