Cadangan MIC diserap dalam RMK13 zahirkan komitmen kerajaan tingkat taraf hidup kaum India

PUTRAJAYA – MIC menyambut baik cadangan yang dikemukakan parti itu dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menerusi kemas kini Indian Blueprint 2.0 yang dibangunkan di bawah Majlis Perundingan India (ICC).

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, Cadangan berkenaan diserahkan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada Disember 2024.

Menurutnya, penerimaan cadangan tersebut membuktikan komitmen kerajaan untuk terus memberi perhatian kepada keperluan masyarakat India khususnya kelompok berpendapatan rendah yang masih bergelut dengan pelbagai cabaran sosioekonomi.

“Fokus kepada usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat India, khususnya daripada kumpulan B40 di seluruh negara, merupakan langkah yang amat penting dan tepat pada masanya.

“RMK13 kini menzahirkan aspirasi masyarakat yang dibawa melalui Indian Blueprint 2.0, dan kami mahu memastikan ia dilaksanakan dengan berkesan,” katanya menerusi kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Vigneswaran menjelaskan, usaha meningkatkan mobiliti sosial masyarakat India akan dilaksanakan selaras dengan Indian Blueprint dan Pelan Tindakan Komuniti India melalui pelbagai inisiatif bersasar.

“Ia merangkumi bidang utama termasuk pendidikan dan pembangunan bakat, dengan penekanan khusus kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET), selain memperluas peluang kerjaya kepada golongan belia,” katanya.

Selain itu, jelasnya, pengukuhan pendidikan, penambahbaikan infrastruktur, kemudahan asas serta pemulihan perumahan turut diberi perhatian bagi memastikan manfaat yang diperoleh sampai secara langsung kepada masyarakat India di seluruh negara.

Dalam konteks pelaksanaan, Vigneswaran menegaskan keperluan untuk mewujudkan pelan pelaksanaan khusus yang disokong oleh sebuah unit khas berbeza daripada rangka kerja MITRA sedia ada.

“Kami mencadangkan penubuhan sebuah yayasan pembangunan sosioekonomi komuniti India yang mampan, dipimpin oleh jawatankuasa khas di bawah ICC yang turut berfungsi sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sosioekonomi. Ia penting supaya pelaksanaan dasar ini dipantau secara teliti, berkesan dan berimpak tinggi.

“Bagi merealisasikan visi ini, MIC cadang penubuhan Unit Pembangunan Sosioekonomi di 38 lokasi utama di seluruh negara, iaitu kawasan yang menempatkan kira-kira 95 peratus populasi masyarakat India.

“Unit ini perlu disokong oleh pegawai berkeupayaan tinggi dalam agensi kerajaan tempatan bagi menyelaras, memantau, dan memacu kemajuan di peringkat daerah. Dengan cara ini, pelaksanaan program pembangunan akan lebih berkesan, telus dan menepati keperluan komuniti,” katanya.

Sementara itu, menurut Vigneswaran, MIC kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan setiap cadangan ini diterjemahkan kepada pelaksanaan yang nyata.

“MIC bersedia menjadi rakan strategik kerajaan dalam memacu usaha pembangunan sosioekonomi masyarakat India. Dengan adanya perancangan jelas seperti RMK13 dan Indian Blueprint 2.0, kita boleh membina masa depan yang lebih adil, saksama dan makmur untuk komuniti India di Malaysia.

“Penubuhan unit khas serta pelaksanaan menyeluruh ini akan memastikan tiada segmen masyarakat India yang tercicir daripada arus pembangunan negara selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk mewujudkan kesejahteraan inklusif bagi semua rakyat Malaysia,” katanya.

Related Posts

Jawatankuasa Kabinet ditubuh perkasa penggunaan produk tempatan

SANDAKAN – Kerajaan Persekutuan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kabinet bagi memperkasa penggunaan dan pembelian produk tempatan sebagai langkah memperkukuh pelaksanaan gerakan Jom Malaysia. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
RCI TH tepat pada masanya, bukan ‘gula-gula politik’ PRN Negeri Sembilan

KUALA PILAH – Dakwaan langkah kerajaan mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bertujuan meraih sokongan pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, tidak dipersetujui…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Calon BN didakwa terlibat isu deklarasi saham RM12 juta

Calon BN didakwa terlibat isu deklarasi saham RM12 juta

Ceramah ‘perkauman’ Sanusi: MP DAP desak MCA nyatakan pendirian

Ceramah ‘perkauman’ Sanusi: MP DAP desak MCA nyatakan pendirian

Sektor pertanian Pahang penyumbang kedua terbesar negara

Sektor pertanian Pahang penyumbang kedua terbesar negara

Penduduk Linggi iktiraf sentuhan Aminuddin ubah wajah Negeri Sembilan

Penduduk Linggi iktiraf sentuhan Aminuddin ubah wajah Negeri Sembilan

Pesta Tarian Naga dan Singa rancakkan ekonomi, eratkan perpaduan di Mukah

Pesta Tarian Naga dan Singa rancakkan ekonomi, eratkan perpaduan di Mukah

JKOM Sarawak santuni komuniti Tatau menerusi Program Hasrat MADANI

JKOM Sarawak santuni komuniti Tatau menerusi Program Hasrat MADANI