
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah terus perkukuh usaha dalam menangani isu perkahwinan awal dan kehamilan remaja yang dikenal pasti sebagai antara cabaran utama di negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratip berkata, cabaran itu perlu diberi perhatian dan tindakan kolektif semua pihak.
“Sabah merupakan negeri yang unik, bukan sahaja dari sudut geografi dan kepelbagaian etnik, malah turut menampilkan profil penduduk yang mencabar dan berbeza dari kebanyakan negeri lain.
“Berdasarkan data dan pemantauan semasa, terdapat beberapa isu utama yang semakin menuntut perhatian dan tindakan kolektif kita bersama.
“Perkahwinan awal dan kehamilan remaja adalah antara cabaran di Sabah,” katanya.
Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Flovia Ng ketika merasmikan Program Seminar Kependudukan Negeri Sabah sempena Hari Penduduk Sedunia Tahun 2025 di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini pada Khamis.
Jelasnya, isu tersebut sering kali didorong oleh tekanan budaya, kemiskinan, kurangnya akses kepada pendidikan dan pengetahuan yang terhad mengenai kesihatan reproduktif.
“Jika isu ini tidak ditangani secara menyeluruh, situasi ini akan terus menyumbang kepada kitaran kemiskinan, keciciran pendidikan dan cabaran dalam pembangunan potensi generasi muda,” ujarnya.
Justeru itu, katanya sebagai usaha menangani isu tersebut, menerusi Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) melaksanakan Program Menangani Isu Perkahwinan Awal Kanak-kanak (MIPA) bermula tahun 2023 yang bertujuan meningkatkan kesedaran serta menyebar pengetahuan berkaitan kesan perkahwinan awal dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa dan komuniti.
Setakat ini, program MIPA telah dijalankan di beberapa lokasi iaitu daerah Tongod, Tenom, Kemabong, Pagalungan, Nabawan, Ranau, Telupid serta Kota Belud yang memanfaatkan seramai 1,092 peserta.
Selain itu, pelbagai usaha turut digerakkan untuk memperkukuh sistem sokongan keluarga melalui program keibubapaan, kaunseling, dan pembangunan keluarga berdaya tahan yang dijalankan secara bersepadu bersama agensi kerajaan, NGO dan pemimpin komuniti.
Tambahnya, beliau percaya dengan kerjasama strategik pelbagai pihak, Sabah mampu melahirkan generasi baharu yang cemerlang, berintegriti, kreatif, dan berperanan aktif dalam memacu kemajuan negeri.






