
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes pelajar tingkatan dua yang didakwa menumbuk seorang guru di sebuah sekolah menengah di Kajang.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, meskipun KPM ada peraturan dalam menangani insiden di sekolah, namun apabila pihak berkuasa seperti polis sudah mengambil alih siasatan, pihaknya akan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat, lapor BH Online.
Fadhlina mengulas insiden seorang guru didakwa ditumbuk murid yang berang selepas ditegur ponteng kelas pendidikan jasmani petang kelmarin.
Pada masa sama, Fadhlina berkata, KPM akan memberi tumpuan dengan memberikan bantuan kaunseling guru terbabit.
Media semalam melaporkan guru lelaki berusia 29 tahun berkenaan membuat laporan polis jam 7.15 malam pada hari kejadian.
Kejadian disaksikan beberapa guru dan pelajar lain, turut tular di media sosial.
Murid berusia 14 tahun itu ditahan kelmarin disekitar Kajang dan direman dua hari, selain kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Polis mendapat arahan pertuduhan kes itu dibuat di Mahkamah Kajang hari ini.





