Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia capai beberapa persetujuan

JAKARTA – Malaysia dan Indonesia mencapai beberapa persetujuan penting dalam Rundingan Tahunan ke-13 yang berlangsung di Jakarta, hari ini.

Perkara itu termasuk isu sempadan, peluasan kerjasama ekonomi serta usaha mempercepat pelaksanaan projek tenaga baharu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, antara pencapaian utama rundingan berkenaan ialah pemeteraian empat memorandum persefahaman (MoU) merangkumi isu sempadan termasuk Pulau Sebatik serta kesihatan, maklumat dan komunikasi, selain tadbir urus internet.

“Kami menyentuh pelbagai isu penting termasuk sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion, kerjasama pelaburan di Ibu Kota Nusantara (IKN), serta kemudahan akses rentas sempadan yang lebih lancar di Entikong,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas rundingan berkenaan, hari ini.

Entikong ialah pekan di Kalimantan Barat, Indonesia, yang bersempadan dengan Tebedu, Sarawak.

Anwar berkata, pelaburan Malaysia dalam sektor strategik di Indonesia berteraskan semangat tulen untuk memperkukuh kesejahteraan serantau.

Perdana Menteri berkata, hasrat Malaysia ialah untuk menjadi rakan pembangunan yang jujur dan amanah dalam pelbagai bidang, termasuk tenaga boleh baharu – dengan Sarawak sebagai hab eksport infrastruktur, perumahan, pendidikan dan teknologi.

Perbincangan isu sempadan laut ambil kira undang-undang antarabangsa

Mengenai isu sempadan laut di Laut Sulawesi, Anwar menjelaskan perbincangan dijalankan berasaskan undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Undang-undang Laut PBB (UNCLOS), serta kepentingan kedua-dua negara.

“Semangat kita ialah untuk menjaga kepentingan masing-masing sambil menghormati garis sempadan ditetapkan mengikut undang-undang antarabangsa.

“Kita teruskan dengan semangat itu supaya tiada ketegangan,” katanya.

Dalam soal keselamatan, Anwar berkata, Malaysia dan Indonesia bersetuju meningkatkan kerjasama melalui kerangka Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) bagi memelihara ketenteraman Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

Beliau berkata, keutamaan Malaysia kekal pada keselamatan strategik di Selat Melaka dan Laut China Selatan, sambil mengingatkan nasib rantau ini perlu ditentukan rantau ini sendiri, bukannya kuasa luar.

Berhubung gesaan segelintir pihak di Indonesia supaya Malaysia membantu dalam isu membabitkan ahli perniagaan Indonesia, Mohd Riza Chalid, Perdana Menteri berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan mengikut kerangka undang-undang.

“Setakat ini, kita hanya dimaklumkan secara umum dan belum menerima sebarang keterangan jelas berhubung perkara terbabit.

“Namun, kita bersedia memberikan kerjasama penuh kerana Malaysia dan Indonesia ialah negara sahabat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Riza yang dinamakan pihak berkuasa Indonesia sebagai suspek kes rasuah berkaitan pengurusan minyak mentah PT Pertamina bagi tempoh 2018 hingga 2023, didakwa kini berada di Malaysia.

Related Posts

MMKN tiada kuasa gantung tugas SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan – AGC

KUALA LUMPUR – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri, kata Jabatan Peguam…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Penggantungan SUK, Penasihat Undang-Undang: AMK Negeri Sembilan mahu penjelasan segera

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan menggesa semua pihak menghormati Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta proses perundangan berhubung keputusan penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Zafir…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Dua wanita ditahan disyaki ejen judi atas talian

Dua wanita ditahan disyaki ejen judi atas talian

MMKN tiada kuasa gantung tugas SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan – AGC

MMKN tiada kuasa gantung tugas SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan – AGC

Penggantungan SUK, Penasihat Undang-Undang: AMK Negeri Sembilan mahu penjelasan segera

Penggantungan SUK, Penasihat Undang-Undang: AMK Negeri Sembilan mahu penjelasan segera

MPNPHNS saran siasatan menyeluruh dakwaan usaha singkir Tuanku Muhriz

MPNPHNS saran siasatan menyeluruh dakwaan usaha singkir Tuanku Muhriz

Kecewa cara UMNO urus kemelut Tuanku Muhriz, ketua cawangan letak jawatan

Kecewa cara UMNO urus kemelut Tuanku Muhriz, ketua cawangan letak jawatan

Kontinjen Orang Asli tampil memeriahkan sambutan Maulidur Rasul Jengka

Kontinjen Orang Asli tampil memeriahkan sambutan Maulidur Rasul Jengka