
KOTA KINABALU – Terbaru tular di media sosial Facebook yang melibatkan mantan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha berkaitan dengan insiden yang mengaitkan Allahyarham adik Zara Qairina.
Menurut mantan Pengetua, Datin Rosnih Nasir, beliau terpanggil untuk memberikan penjelasan berhubung fitnah dan kekeliruan yang sedang tular di media sosial yang melibatkan namanya.
“Untuk makluman semua, saya hanya berkhidmat sebagai Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha Limauan, Papar Sabah dari 20 Mac hingga 22 November 2024.
“Selepas itu, saya telah bersara dan tidak lagi terlibat dalam pentadbiran sekolah berkenaan,” jelasnya dalam satu kenyataan menerusi hantaran laman sosial Facebook beliau, di sini, pada Selasa.
Beliau menafikan sekeras-kerasnya berkenaan dengan sebarang dakwaan yang mengaitkannya sama ada secara langsung dan tidak langsung berkaitan dengan peristiwa tragik yang menimpa salah seorang pelajar sekolah itu.
Dalam pada itu, Rosnih merakamkan ucapan takziah yang paling tulus kepada keluarga Allahyarham adik Zara Qairina dan berharap keluarganya diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini.
Tambahnya, beliau sentiasa memberikan sokongan padu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan terperinci dan menyeluruh berhubung kes ini.





