
KOTA KINABALU – Pengarah Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) Sabah tidak tertekan sebaliknya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sebenarnya bimbang kehilangan kuasa dan sokongan rakyat.
Menurutnya, penyokong GRS sedang menunjukkan ketakutan sendiri apabila mula menyerang BN Sabah sebagai sebagai ‘gelabah’ atau ‘panik’.
“Mereka bimbang kerjasama ini akan membuka pekung sebenar, bahawa GRS bukan lagi gabungan solo tetapi hanya sekadar boneka dalam percaturan pusat.
“Dalam bahasa peribahasa melayu mengatakan ‘ayam terlepas, tangan berbau tahi’ kononnya mahu ke depan sebagai kuasa baharu, tetapi akhirnya GRS sendiri yang terpalit kerana terlalu ghairah mengejar kelangsungan kuasa tanpa prinsip,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.
Dalam asas sains politik, Rosman berkata gabungan politik yang dibina di atas kegentaran kehilangan kuasa ‘electoral desperation’ bukanlah strategi, tetapi langkah panik.
“Kerjasama ini tidak akan menyelesaikan krisis keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri malah hanya akan menambah sinisme politik kerana rakyat tahu ini bukan ‘unity of vision’, tetapi ‘unity of survival’,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sindiran Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar bukan tanda ketakutan, tetapi satu isyarat yang berani bahawa UMNO Sabah tidak akan tunduk kepada politik yang mengorbankan prinsip.
“Bung berani berkata benar, walaupun pahit bahawa GRS yang dulunya lantang dengan slogan ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ hari ini sedang hanyut dibawa arus manipulasi politik pusat, kononnya demi kestabilan tetapi realitinya demi kesinambungan kedudukan dan kuasa.
“Tuduhan terhadap beliau berkaitan kes mahkamah bukan hujah politik yang sahih kerana selagi belum diputuskan bersalah, prinsip keadilan meletakkan beliau masih mempunyai legitimasi untuk bersuara.
“Jangan gunakan ‘trial by media’ untuk menutup kelemahan dasar dan ketempangan tadbir urus GRS,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, bukanlah reaksi panik, tetapi seruan untuk memulihkan kembali idealisme politik Sabah yang semakin ketara dibeli dan dijual seperti barang lelong.
“BN Sabah tidak takut kepada kerjasama mana-mana parti sebaliknya lebih prihatin dengan kesan buruk kepada masa depan negeri khususnya apabila kerajaan dibentuk tanpa mandat jelas, dan atas dasar kepentingan elit semata-mata.
“Kalau benar kerjasama ini demi rakyat, kenapa tidak dilakukan secara inklusif? Kenapa tidak runding secara terbuka, malah tergesa-gesa membuat pengumuman tanpa hala tuju jelas?,” soalnya.
Katanya lagi, apabila BN Sabah mengkritik, ia bukan kerana takut ditinggalkan tetapi kerana tidak mahu Sabah terus hanyut dalam kancah eksperimen politik yang gagal.
“Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, tetapi pemimpin yang hilang prinsip akan mati sebelum waktunya dalam hati rakyat,” ujarnya.



