
SARATOK – Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA), Hospital Saratok menerima sumbangan 18 unit kerusi baharu bagi menggantikan perabot lama yang uzur demi menjamin keselesaan dan keselamatan petugas kesihatan khususnya jururawat.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh Setiausaha Kehormat PBB Cawangan N.38 Kalaka, Gapor Ahmad mewakili Pusat Khidmat N.38 Kalaka, hasil kerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohamad Duri, sumbangan berkenaan bertujuan menyediakan persekitaran kerja lebih kondusif dan selesa kepada petugas barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
“Sumbangan ini adalah bukti keprihatinan terhadap keperluan jururawat dan kakitangan yang sentiasa berdedikasi. Kita berharap ia dapat meningkatkan semangat kerja dan mutu perkhidmatan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Ahad.
Beliau turut menyeru lebih banyak NGO tampil membantu menyalurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan, khususnya dalam sektor kesihatan yang menjadi tunjang kesejahteraan komuniti


