
SANDAKAN – Penganjuran Sesi Libat Urus Awam sempena penggubalan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) disifatkan sebagai satu langkah membina dan konstruktif dalam usaha Kerajaan mendapatkan pandangan menyeluruh daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya rakyat Sabah.
Pegawai Khas kepada Pembantu Menteri II Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah, Kartini Madun berkata, pendekatan sedemikian amat digalakkan kerana ia mampu memperkukuh hubungan antara Kerajaan Pusat dan Negeri.
“Kami juga berbangga kerana dapat sama-sama membantu dalam proses himpunan maklumat berharga.
“Kami di Sabah amat menyokong pendekatan sebegini kerana ia turut mengeratkan hubungan antara dua kerajaan,” katanya ketika ditemui media semasa Program Sesi Libat Urus Awam Wacana RMK13 Peringkat Wilayah Sabah di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, di sini pada Sabtu.
Tambahnya, Sandakan berbangga kerana terpilih sebagai salah satu lokasi sesi libat urus yang dilaksanakan bagi meneliti cabaran rakyat serta menyalurkan input berharga kepada pembentukan dasar RMK13.
“Sandakan merupakan antara bandar besar lagi terkenal di seluruh Malaysia, malah seluruh dunia. Sandakan mempunyai sejarah tersendiri.
“Maka, penyertaan aktif masyarakat tempatan dalam sesi hari ini amat dialu-alukan dan dihargai,” katanya.
Beliau turut berkata sesi tersebut adalah sebahagian daripada kajian penyelidikan yang dijalankan oleh Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya (UM) dalam usaha mendapatkan maklum balas rakyat terhadap cabaran semasa sebagai pelengkap kepada inisiatif Kerajaan.
“Sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, sebanyak 12 Rancangan Malaysia telah dilaksanakan.
“Kini, kita bersedia membentuk RMK13 dengan lebih banyak penyertaan awam agar ia benar-benar mencerminkan keperluan rakyat,” ujarnya lagi.
Katanya, dua matlamat utama dalam RMK13 iaitu pembangunan ekonomi dan pembasmian kemiskinan terus menjadi teras perancangan nasional, termasuk bagi negeri Sabah.
“Melalui sesi seperti ini, kami percaya lebih banyak program, aktiviti dan inisiatif akan dirangka untuk mempercepatkan pembangunan di Sabah seterusnya mengurangkan ketidakseimbangan antara wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Kartini turut menzahirkan keyakinan bahawa peserta sesi tersebut akan menyumbang idea dan cadangan yang bernas demi meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah dan negara secara keseluruhan.
“Ini adalah harapan kita semua di Sabah agar suara rakyat didengar dan dijadikan asas kukuh dalam pembentukan dasar negara,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif UM-LEAD merangkap Pengarah Eksekutif Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya (UM), Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata bahawa sesi tersebut adalah sebahagian daripada kajian lapangan yang dijalankan pihaknya bagi mendapatkan maklum balas rakyat secara terus.
“Kita turun ke akar umbi untuk memahami rintihan sebenar rakyat.
“Kita bukan sahaja mendengar masalah, tetapi juga cadangan penyelesaian yang datang daripada mereka sendiri.
“Kadang-kadang, pembuat dasar beranggapan penyelesaian itu hanya datang dari atas, sedangkan realitinya rakyat lebih tahu masalah mereka dan bagaimana cara terbaik untuk menanganinya,” katanya.

Tambah beliau pendekatan ‘one size fits all policy’ tidak lagi sesuai dalam konteks pembangunan semasa, sebaliknya dasar perlu disesuaikan mengikut keperluan setempat.
“Malah dalam negeri Sabah sendiri, masalah di Sandakan tidak sama dengan di Kota Kinabalu.
“Sebab itu penting untuk kita memahami denyut nadi rakyat di setiap kawasan,” katanya.






