
KOTA KINABALU – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melalui MUIS Halal Hub (MHH) menganjurkan Program Perbincangan Meja Bulat yang menghimpunkan lebih 50 peserta daripada lebih 25 agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam usaha memperkasa sektor halal di negeri ini.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, perbincangan itu bertujuan menyelaraskan semua bantuan daripada agensi-agensi kepada usahawan, terutama mendapatkan sijil halal.
“Kita melihat agensi-agensi berkenaan banyak menaja usahawan masing-masing dan langkah terbaik kita selaras di bawah MUIS, dari sudut untuk mendapatkan pensijilan.
“Kedua untuk mendapatkan latihan dan ketiga untuk memantapkan lagi usahawan-usahawan kita ini khususnya dari sudut kesedaran halal,” katanya kepada media selepas Majlis Penangguhan Perbincangan Meja Bulat Pensijilan Halal Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah, di Promenade Hotel, di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Exco Agama dan Exco Pendidikan berkata, sistem pangkalan data halal juga akan ditambah baik dan diselaraskan menerusi kerjasama Jabatan Perkhidmatan Komputer di bawah kementerian berkaitan, termasuk usaha pendigitalan latihan dan proses pensijilan halal.
“Melalui sistem ini, tiga perkara yang saya lihat sangat penting pertama koordinasi, kedua, usaha untuk memudahkan pensijilan dan ketiga, pengkalan data tentang halal,” katanya.
Menjawab persoalan berhubung status pensijilan halal dalam kalangan premis makanan popular, beliau menegaskan pentingnya peningkatan kesedaran halal secara menyeluruh.
“Perkara pertama adalah tentang kesedaran halal dan kedua, tentang macam mana kita memberi mereka jalan yang mudah untuk mendapatkan pensijilan halal.
“Pensijilan halal sebenarnya mudah diperoleh sekiranya pihak pengusaha memahami prosesnya.
“Oleh itu, MHH bersama agensi lain bersetuju untuk menyelaras segala usaha berkaitan pensijilan halal ini, termasuk bimbingan dan latihan,” katanya.
Justeru, resolusi daripada perbincangan tersebut termasuklah penganjuran latihan halal ‘coaching’ kepada usahawan PMKS, kolaborasi antara agensi dalam mempromosikan pensijilan halal Malaysia, serta melatih agensi pemberi bantuan sebagai jurulatih, juruaudit dan tenaga pengajar pensijilan halal.
Hadir sama Pengerusi MHH, Mohammad Sidik Awang Adi; Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USM), Profesor Datuk Ts Dr Sharifudin MD Shaarani; Pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Professor Madya Dr Ahmad Zubir Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Ismail Mohd Adnan.





