
BINTULU – Sebuah bot penumpang yang beroperasi tanpa nakhoda sah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu ketika rondaan rutin dijalankan di perairan Bintulu pada Isnin petang.
Menurut Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, bot terbabit ditahan pada jam 1.30 petang di kedudukan 2.30 batu nautika barat laut muara Sungai Kemena menerusi pelaksanaan Op Tiris 3.0 dan Op Permai 01/2019.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh seorang kru lelaki warga tempatan berusia 37 tahun yang membawa seorang penumpang lelaki, juga warga tempatan berumur 43 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 477(2) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal memaklumkan secara bertulis kepada Pendaftar Kapal mengenai pertukaran nama nakhoda dalam sijil pendaftaran kapal.
“Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda atau kompaun,” jelasnya.
Bot bersama kru telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.





