
JABATAN Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa pelantikan jawatan utama kehakiman, termasuk Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, hanya boleh dimuktamadkan mengikut tempoh dan prosedur yang ditetapkan sepenuhnya oleh Perlembagaan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, AGC menjelaskan bahawa dakwaan mengenai kelewatan atau kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dinilai berdasarkan peruntukan undang-undang tertinggi negara.
Menurut AGC, Perdana Menteri tidak boleh dianggap sekadar sebagai saluran yang menerima syor daripada mana-mana pihak. Sebaliknya, beliau mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pelantikan kehakiman, demi menjaga kebebasan, kredibiliti dan integriti institusi kehakiman negara.
“Jabatan ini dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan beberapa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada bulan lalu, dan pelantikan tersebut kini sedang melalui beberapa proses formaliti yang wajar.
“Justeru, pelantikan sedemikian wajar dilakukan dengan tertib dan teratur,” jelas kenyataan tersebut pada Selasa.
AGC turut menjawab dakwaan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) telah dipanggil pada Jumaat lalu tanpa mematuhi keperluan notis 10 hari, kononnya untuk membuat pencalonan semula bagi jawatan-jawatan yang kosong.
Mengikut Seksyen 13(2) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695), JAC berkuasa mengawal selia tatacara mesyuaratnya sendiri.
“Apabila terdapat keadaan yang mendesak, lazimnya pihak berkuasa boleh meneruskan mesyuarat dengan notis yang pendek sekiranya terdapat persetujuan semua anggota.
“Perkara bersifat prosedural tidak seharusnya menjejaskan kesahan pertimbangan JAC melainkan wujud unsur mala fide atau prejudis yang jelas,” katanya.
Berhubung dakwaan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan terbabit dalam mempengaruhi keputusan kehakiman dan penugasan semula hakim, AGC menyifatkannya sebagai tuduhan serius tetapi tidak berasaskan bukti yang kukuh.
Menurut AGC, pertimbangan dalam mesyuarat JAC dilindungi oleh undang-undang dan bersifat sulit, justeru tidak boleh dianggap sebagai salah laku melainkan terdapat bukti sahih.
“Perbandingan dengan kes VK Lingam pada 2007 adalah perkara yang tidak wajar pada peringkat ini. Kes itu membabitkan keterangan yang jelas mengenai campur tangan dalam proses pelantikan hakim sehingga Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan pada ketika itu.
“Keadaan terbabit berbeza dengan senario semasa yang mana tuduhan atau dakwaan hanya bersandarkan ketidakaturan dari aspek prosedur dan anggapan yang tidak disokong oleh bukti yang kukuh,” katanya.
AGC menjelaskan bahawa walaupun Parlimen mempunyai peranan untuk menyemak tatakelola institusi melalui jawatankuasa tertentu, isu pelantikan kehakiman di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara berhemah, agar kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri tidak dijadikan polemik politik.
Katanya, kedua-dua institusi tersebut perlu menjalankan tanggungjawab secara bebas seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.
“Situasi pada masa ini hendaklah diawasi dan diharap tiada pihak yang akan bertindak terburu-buru. Percanggahan tempoh masa atau prosedur dalam hal pelantikan tidak semestinya merupakan suatu krisis perlembagaan.
“Sistem pelantikan hendaklah dilaksanakan melalui prosedur yang sah, menghormati peranan institusi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


