
JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor mengesahkan tiga buah hospital di negeri ini sedang mengalami kekurangan petugas kesihatan yang serius.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon, masalah itu telah mengakibatkan gangguan kelancaran operasi di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Pasir Gudang (HPG).
Menurut beliau, aduan diterima daripada pihak atasan mendakwa tempoh masa menunggu dalam kalangan pesakit kini menjadi semakin panjang selain bebanan kerja petugas kesihatan juga bertambah.
“Ketiga-tiga hospital ini kini berdepan isu sama iaitu kekurangan tenaga kerja. Tadi, kami telah mendengar taklimat daripada setiap hospital berkenaan jabatan-jabatan yang mengalami kekurangan tenaga kerja serta bebanan tugas yang tinggi terhadap para petugas kesihatan.
“Kerajaan Johor akan menyusun dan mengangkat data data ini untuk dibawa ke perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mendesak supaya isu kekurangan petugas kesihatan di negeri ini diberi perhatian serius dan penyelesaian segera,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, semalam.

Terdahulu, mesyuarat secara sidang video telah diadakan bagi menyelaras tindakan susulan membabitkan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Mohtar Pungut; Pengarah HSA, Dr Mohamad Nizam Subahir; Pengarah HSI, Dr Zuraini Zainal dan Pengarah Hospital Pasir Gudang, Dr Suhaila Abu Hassan serta beberapa pegawai kanan lain.
Tian Soon berkata, beliau sendiri akan mengetuai delegasi Kerajaan Johor ke KKM pada Jumaat depan bagi membincangkan langkah penyelesaian dan bantuan berkaitan isu sumber manusia di tiga hospital utama di negeri ini.
“Kami juga akan memastikan kelancaran HPG yang bakal memulakan operasi pada Ogos. Ini penting bagi memastikan operasi HPG yang baharu tidak menjejaskan dua hospital lain sedia ada.
“Justeru, kami berharap pihak KKM dapat membantu meningkatkan bilangan petugas kesihatan di negeri ini,” katanya.





